Beijing tubuh skuad pengawal alam sekitar

BEIJING, 8 Jan – Pegawai di Beijing telah mengumumkan skuad pengawal alam sekitar baru untuk membanteras pembakaran haram, respons kerajaan terbaru terhadap kemarahan orang awam mengenai masalah berlarutan China dengan asbut.

Pemangku datuk bandar Beijing, Cai Qi, berkata pada satu mesyuarat semalam bahawa kumpulan itu akan menyasarkan barbeku terbuka, pembakaran sampah dan pembakaran kayu dan biojisim lain, menurut Agensi Berita Xinhua.

Cai mengumumkan beberapa langkah lain semalam, termasuk sasaran untuk mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 30 peratus pada 2017 kepada penutupan 500 kilang pencemaran tinggi dan peningkatan 2,500 kilang lain. Kira-kira 300,999 kenderaan pencemaran tinggi juga akan disekat daripada memasuki bandar mulai bulan depan, kata beliau.

Beijing dan berpuluh bandar di China menghabiskan kebanyakan hari-hari musim sejuk diselubungi jerebu tebal, dengan tahap pencemaran udara yang sering melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Lelaki China memakai topeng bagi melindungi daripada pencemaran udara semasa berjalan di jambatan sebuah bangunan yang diselubungi dengan jerebu dan pencemaran di Beijing pada 5 Januari. – AP
Lelaki China memakai topeng bagi melindungi daripada pencemaran udara semasa berjalan di jambatan sebuah bangunan yang diselubungi dengan jerebu dan pencemaran di Beijing pada 5 Januari. – AP

Beijing menghabiskan sebahagian dari minggu lalu di bawah ‘amaran jingga,’ tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran udara empat tingkat di China. Lebih daripada 20 bandar diletak pada ‘amaran tertinggi merah’.

Asbut adalah isu yang paling terdesak di bandar China, di mana ‘amaran merah’ boleh membawa kepada penutupan sekolah dan perniagaan, pembatalan penerbangan dan penutupan lebuh raya untuk mengelak kereta daripada menggunakan jalan raya. Ketika amaran merah di Beijing pada bulan lalu, pihak berkuasa mengharamkan kru pembinaan daripada menyembur cat malah merampas gril arang daripada beberapa restoran.

Namun penguatkuasaan masih merupakan satu isu.

Kementerian alam sekitar China berkata ketika amaran merah pada minggu lalu bahawa kumpulan pemeriksaannya mendapati beberapa syarikat meneruskan pengeluaran meskipun pengharaman daripada kerajaan.

Banyak kilang masih menerima tekanan untuk memenuhi sasaran pengeluaran tanpa mengambil kira pencemaran udara.

Cai semalam menyalahkan aktiviti pencemaran seperti pembakaran sampah atau kayu ke atas ‘kesan penyeliaan longgar dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah’. – AP