Bekalan elektrik Venezuela kembali pulih

CARACAS, 23 JULAI – Elektrik telah dipulihkan di semua kawasan Caracas dan beberapa rantau lain di Venezuela selepas gangguan bekalan besar-besaran, kata kerajaan hari ini – dalam ujian kegetiran terbaharu bagi sebuah negara yang dihimpit krisis ekonomi.

Gangguan itu bermula petang semalam mencetuskan kebuntuan di bandar itu ketika lampu trafik tidak berfungsi. Sementara laluan jalan kaki dipenuhi orang ramai yang hendak pulang ke rumah selepas metro berhenti operasi.

Kerajaan menyalahkan sabotaj, mengatakan kilang hidroelektrik yang membekalkan 80 peratus tenaga telah dilanda oleh ‘serangan elektro magnetik’.

Kedai-kedai ditutup malam semalam ketika ketiadaan elektrik menghalang penggunaan kad kredit dan debit yang sangat penting akibat kekurangan wang di Venezuela yang dilanda inflasi.

“Saya lapar, saya mahu makan, tetapi tiada guna untuk menggunakan kad debit saya,” kata Hernan Montalvo, mengadu tidak cukup wang tunai untuk membeli roti sosej.

Awal hari ini, utiliti Corpoelec milik kerajaan berkata tenaga telah dipulihkan di semua tempat di Caracas dan empat bahagian lain negeri itu.

“Kami sedang memulihkan keseluruhan perkhidmatan,” katanya dalam Twitter. – AFP

Penduduk semasa beratur untuk menaiki bas di Caracas, Venezuela pada 23 Julai setelah bekalan elektrik dipulihkan. – AP