Bekalan makanan cukup untuk Aidilfitri, Hari Gawai

KUCHING, 8 MEI – Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa bekalan makanan penting adalah mencukupi dan mampu bertahan tiga bulan, termasuk menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Gawai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak mengetatkan pemantauan serta pengawasan di titik penjualan untuk memastikan bekalan makanan tidak putus dan pembekal tidak menaikkan harga.

Katanya, barang makanan yang dipantau antaranya telur ayam, tepung gandum, beras, gula, daging lembu, ayam dan minyak masak.

Menurut Awang Tengah, purata pengeluaran ladang bagi telur adalah 1.85 juta biji sehari manakala  tepung gandum pula sebanyak 350 tan metrik sehari dari dua kilang tepung – Sarawak Flour Mill dan Federal Flour Mill.  – Bernama