Bekalan makanan di Sabah mencukupi

KOTA KINABALU, 19 OKT – Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam negeri mencukupi dan tiada keperluan untuk orang ramai berpusu-pusu membeli barangan yang banyak untuk simpanan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga jurucakap rasmi berkaitan COVID-19 bagi Sabah berkata, kerajaan negeri juga akan mengagih-agihkan bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan dan terkesan akibat penularan COVID-19.

“Kita ada bekalan makanan yang cukup di Sabah, oleh itu tiada keperluan untuk rakyat berebut-rebut membeli belah pada ketika ini,” katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini malam ini.

Menteri Kewangan II itu berkata kerajaan Sabah juga bercadang untuk memperluaskan lagi pengagihan bakul makanan kepada golongan lain yang memerlukan di seluruh negeri.

“Pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar sedang berjalan lancar. Sehingga hari ini, 57,329 bakul makanan telah diagihkan di seluruh Sabah,” katanya.

Jumlah kes positif baharu COVID-19 yang dikesan di Sabah hari ini adalah sebanyak 643 kes.  – Bernama