Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Bekalan komoditi ayam pedaging dan telur ayam bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan sehingga akhir tahun ini adalah mencukupi dan ia termasuk keperluan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, kata Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, hari ini.
“Pasar raya utama di negara ini juga memberi jaminan di mana bekalan komoditi pertanian dan perikanan adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran semasa, sama ada sumber yang dibekalkan dari dalam negara atau melalui import.
“Sebahagian pengusaha turut memberi jaminan yang menyatakan mereka mampu untuk menambah keluaran jika diperlukan bagi menjamin sekuriti bekalan di negara ini,” ujarnya pada sidang media harian mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Pada sidang media itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyentuh mengenai bekalan makanan berasaskan keluaran industri pertanian dan agrimakanan serta industri perikanan, turut mengatakan bekalan komoditi sayuran daripada peladang tempatan bagi pembekalan sebahagian pasaran tempatan termasuk kemasukan bekalan melalui import masih berjalan seperti biasa bagi mencukupkan keperluan permintaan pasaran di negara ini.
Sementara itu, bagi bekalan komoditi daging kerbau dan lembu pula, pengusaha ternak kerbau dan lembu tempatan dan bekalan import ternakan hidup pada masa ini berjalan seperti biasa untuk membekalkan keperluan pasaran tempatan, katanya.
“Ini juga termasuk keperluan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang manakala bagi bekalan komoditi ikan dan udang pula, aktiviti penangkapan oleh nelayan tempatan dan aktiviti akuakultur juga masih berjalan seperti biasa bagi membekalkan sebahagian keperluan pasaran tempatan.
“Bekalan bagi ayam pedaging, telur ayam, daging kerbau dan lembu, ikan dan udang serta sayuran daripada pengusaha tempatan termasuk yang didatangkan dari luar negara atau import dan pasar raya utama juga mencukupi,” kata Yang Berhormat Dato.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik secara tidak rasional dan membeli dalam kuantiti yang banyak bagi barangan keperluan rumah seperti makanan.
Sementara itu, para peniaga juga diseru untuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan pertanian, perikanan dan makanan sesuka hati berikutan dengan keadaan yang dihadapi sekarang.
Beliau juga menekankan agensi berkepentingan akan sentiasa memantau perkembangan terkini dan sebarang perubahan yang boleh menjejaskan kemasukan barangan import komoditi pertanian dan perikanan ke negara ini akan ditangani secara bersama melalui Whole of Nation Approach untuk memastikan bekalan makanan terjamin.