Bekalan makanan keperluan sentiasa dipantau

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sejak negara berdepan penularan COVID-19 tahun lepas, segala bekalan makanan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak sentiasa dipantau menerusi kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan.

Di samping itu, kerjasama bersama para pengedar makanan keperluan tersebut di negara ini turut dilakukan bagi memantau stok yang dimiliki selain terhadap pengimportan mereka yang bakal datang ke negara ini. Pemantauan berterusan dilakukan adalah bagi memastikan negara mempunyai jumlah bekalan yang mencukupi.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei
Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

“Kami akan terus memantau sama ada terdapatnya sebarang kemungkinan kekurangan bekalan yang mana kami akan bekerjasama dengan para pengedar untuk meminta mereka
mengimport lebih banyak bekalan dan jika ada isu berkaitan aliran tunai, kami juga sedia untuk memberikan kerjasama dengan mereka mengenainya.

“Beras, sebagai contoh pada tahun lalu kita dapat menyimpan bekalan sehingga lapan hingga ke sembilan bulan. Pada hari ini pula kita memiliki simpanan bekalan beras sehingga tujuh bulan yang tersedia,” tambah Yang Berhormat Dato.