Bekalan terhad punca ramalan pengeluaran menurun

PARIS, 22 OKT – Renault meramalkan penurunan dalam penghasilan kenderaan sebanyak 500,000 buah berbanding sasaran pada tahun ini disebabkan kekurangan bekalan komponen elektronik di seluruh dunia, menurut syarikat automobil Perancis hari ini.

Pandemik koronavirus telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia, mengakibatkan kekurangan dalam bekalan komponen, kayu, plastik dan pasaran besi, sehingga menjejaskan banyak industri.

“Syarikat menjangkakan penurunan hampir 500,000 buah kenderaan pada tahun ini,” menurut kenyataan selepas menerbitkan hasil jualan suku ketiga.

Renault berkata ia gagal menghasilkan 170,000 buah kenderaan yang dirancang dalam tempoh tiga bulan sehingga September setelah kebanyakan kilang-kilang di seluruh dunia ditutup disebabkan kekurangan komponen, terutama semi-konduktor.

Syarikat tersebut menjual lebih 599,000 buah kenderaan pada suku ketiga, menurun 22.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020 ketika industri automotif kembali bangkit daripada kemelesetan berpunca daripada penularan pandemik selama berbulan-bulan. – AFP

Syarikat Renault menjangkakan penurunan penghasilan kenderaan pada tahun ini disebabkan kekurangan bekalan komponen elektronik di seluruh dunia.- AFP