Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Bekalan ubat terkawal, rakyat dinasihat usah panik

    KUALA LUMPUR, 3 JUN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik bagi ubat-ubatan kerana kekurangan yang berlaku tidak serius, malah hanya melibatkan jenama tertentu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Beliau berkata pihaknya memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dalam negara secara amnya masih terkawal.

    “Kita perlu faham bahawa keberkesanan ubat-ubatan untuk merawat sesuatu penyakit adalah sama tanpa mengira jenama ataupun syarikat pengeluar.

    “Contohnya, untuk penyakit darah tinggi ada banyak jenama. Ada yang dipatenkan, ada yang generik dan semua itu berkesan kerana jika ubat jenama A tiada, boleh ganti dengan ubat jenama B,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata KKM sentiasa memantau situasi itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak cuba mengambil kesempatan memanipulasikan harga ubat-ubatan di pasaran.

    Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berucap ketika merasmikan Mesyuarat Townhall HFMD (penyakit tangan, kaki dan mulut) di Perpustakaan Tun Raja Uda, Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini. – Bernama

    Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Noor Azmi berkata tema sambutan Bulan Pemakanan Malaysia tahun ini adalah ‘Perangi COVID-19 dan NCD (penyakit tidak berjangkit) dengan Makan Secara Sihat’ dan pemilihannya selari dengan masalah berkaitan NCD yang sekian lama membelenggu negara.

    “Sambutan ini diadakan dengan harapan ia dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan makan secara sihat dalam memerangi pelbagai jenis penyakit berjangkit ataupun tidak berjangkit,” katanya.

    Beliau berkata Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia dewasa mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

    “Ini sangat berbahaya kerana ia mendatangkan pelbagai penyakit, mengurangkan produktiviti dan memberi beban kepada perkhidmatan rawatan kesihatan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...