Bekalan vaksin COVID tiba di Sarawak 

KUCHING, 24 FEB – Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 6:20 petang tadi.

Pesawat TH543 yang dikendalikan syarikat penerbangan Raya Airways itu membawa 23,400 dos vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini.

Sebaik mendarat, kontena berisi vaksin itu diterima secara simbolik oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Vaksin terbabit akan disimpan di KIA malam ini sebelum dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Kuching dan Sibu esok.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata fasa pertama program imunisasi di negeri itu akan bermula pada Jumaat ini dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal menjadi individu pertama di Sarawak yang menerima vaksin tersebut.

Sarawak hari ini mencatatkan 353 jangkitan baharu COVID-19, jumlah kes tertinggi dalam sehari yang pernah dilaporkan berbanding sebelum ini.

Menurut laporan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daerah yang melaporkan kes baharu ialah Sibu (181), Meradong (67), Kuching (31), Bintulu (22), Kapit (18), masing-masing lapan di Miri dan Subis; Betong (enam), masing-masing tiga di Bau dan Dalat; Samarahan (dua) dan masing-masing satu di Kanowit, Saratok, Julau serta Serian.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 8,650 kes namun tiada kematian dilaporkan hari ini. – Bernama

Pekerja Raya Airways membawa kontena berisi kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak yang dibawa dengan penerbangan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), kelmarin. – Bernama