WASHINGTON, 9 JUN – Bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS), William Anders yang merakamkan foto terkenal Earthrise dari angkasa lebih 55 tahun lalu, maut dalam nahas pesawat baru-baru ini pada usia 90 tahun, menurut kenyataan keluarganya.
Anders dilaporkan terbang bersendirian dalam sebuah pesawat kecil apabila ia terhempas di luar pantai Washington pada pagi Jumaat, beritahu anaknya kepada media Amerika Syarikat (AS).
Mayatnya kemudian ditemui oleh pasukan penyelam, lapor The Seattle Times, memetik kenyataan jurucakap pengawal pantai.
Sebagai anggota misi Apollo 8 pada Disember 1968, Anders adalah antara manusia pertama yang berjaya mengelilingi bulan, bersama rakan angkasawan Amerika, Frank Borman dan James Lovell.
Kru tersebut mengelilingi bulan sebanyak 10 kali tanpa mendarat, sebelum berjaya kembali ke Bumi pada 27 Disember 1968.

Dalam salah satu orbit lunar, Anders merakam foto Bumi yang berwarna biru terang berlatarkan angkasa yang gelap, dengan permukaan Bulan yang dipenuhi kawah di depan.
“Kami telah bergerak ke belakang dan terbalik, tidak benar-benar melihat Bumi atau Matahari, dan ketika kami berpusing kami melihat Bumi terbit pertama kali,” katanya dalam wawancara bersejarah NASA pada tahun 1997.
“Ia sudah pasti merupakan perkara yang paling mengagumkan. Melihat bola yang lembut dan berwarna-warni ini, yang bagi saya kelihatan seperti perhiasan pokok Krismas, muncul di atas lanskap Bulan yang tandus dan hodoh.”
Foto Earthrise sering disenaraikan dalam himpunan gambar bersejarah penting dan dimuatkan dalam buku majalah Life, 100 Photographs that Changed The World.
Versi asal foto tersebut dijual di acara lelongan di Copenhagen pada 2022 pada harga 11,800 euro. – AFP