Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Bekas askar ubah kehidupan wanita Nepal

    KATHMANDU – Selama bertahun-tahun askar kanak-kanak Nepal yang menjadi seorang pelari, Mira Rai berlatih sendirian setiap pagi, namun sekarang dia memimpin wanita muda lain berlari mendaki dan menuruni bukit, berharap sukan itu dapat membantu mereka memutuskan kitaran kemiskinan dan diskriminasi.

    Rai, dilahir dalam keluarga petani di timur Nepal, muncul sebagai pelari berbakat pada 2014 selepas mengambil bahagian dalam acara lumba lari 50 kilometer di cerun bukit Kathmandu.

    Dalam masa setahun, dia mendapat tempat pertama dalam acara 80 kilometer Mont Blanc Ultra di Chamonix, dan merupakan wanita yang memenangi tempat kedua dalam acara Skyrunner World Series, memperoleh tajaan termasuk pengeluar sukan Perancis Salomon.

    Dia seterusnya memenangi perlumbaan di seluruh dunia, termasuk acara 120 kilometer Ben Nevis Ultra di Scotland pada 2017, apabila dia dinamakan Pengembara Pilihan Tahun Itu oleh National Geographic People kerana memperjuangkan wanita dalam sukan.

    Pada tahun yang sama, dua memulakan Inisiatif Mira Rai untuk melarih wanita seperti dirinya dari latar belakang miskin.

    “Saya tidak tahu di mana saya berada jika saya gagal mendapatkan sokongan,” katanya.

    “Sukan ini boleh mengubah kehidupan orang lain sama seperti yang berlaku pada diri saya. Itulah sebabnya saya perlu membantu.”

    Atlet Nepal Mira Rai (kiri) mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama pelari lain di kawasan bukit pinggir bandar Kathmandu. – AFP
    Mirai Rai menjalani sesi latihan di bukit berdekatan Kathmandu.- AFP
    Mira Rai (tengah belakang) bergambar bersama pelari lain selepas sesi latihan di pinggir Bandar Kathmandu. – AFP

    Di Nepal, berlari bukan merupakan pilihan kerjaya untuk budak perempuan, terutamanya dalam komuniti luar bandar – walaupun mereka membesar berlari mendaki dan menuruni bukit untuk mengambil air atau pun pergi ke sekolah. Sebaliknya mereka dijangka berkahwin awal, membesarkan anak-anak dan memasak sementara kaum lelaki bekerja.

    Kira-kira 50 peratus daripada wanita Nepal berusia di antara 25 dan 49 tahun berkahwin apabila usia mereka mencecah 18 tahun, menurut Tinjauan Kesihatan Demografi 2016 negara Himalaya, kebanyakannya disebabkan kemiskinan. Hanya satu perempat wanita Nepal yang mengambil bahagian dalam sektor tenaga buruh.

    “Bukan senang untuk mengamalkan sukan sebagai seorang wanita. Namun kaum wanita perlu diperkasa,” katanya.

    “Jika tidak, potensi mereka dengan mudah menjadi sia-sia dan mereka akan hidup tanpa dikenali.”

    Salah satu kumpulan pelatih pertamanya, Sumaya Budha, sedang bersedia untuk berkahwin pada usia remaja sehingga dia memujuk ibu bapanya supaya menangguhkan majlis perkahwinan itu.

    Dia mula berlari secara rahsia sebelum dia dipilih untuk berlatih bersama Rai, dan pada Disember dia menewaskan jurulatihnya di tempat kedua dalam acara lumba lari UTMB World Series 110 kilometer di Thailand.

    “Kemenangan saya juga milik Rai,” kata Budha, yang masih belum berkahwin pada usia 23 tahun. “Dia membuka pintu untuk kami.”

    Rai hanya berusia 14 tahun apabila dia meninggalkan rumahnya di timur Nepal untuk menyertai pemberontak Maois untuk bertempur menggulingkan kerajaan Nepal, berharap dia dapat melakukan sesuatu untuk keluarganya.

    “Keluarga saya bergelut malah untuk menyediakan satu hidangan makanan…saya sentiasa mahu melakukan sesuatu untuk membantu ibu bapa saya keluar daripada situasi berkenaan,” kata Rai.

    Sebagai askar kanak-kanak, dia belajar menembak dan melawan musuh tetapi juga menjalani senaman larian intensif.

    “Mereka juga memberikan peluang kepada budak perempuan. Maka saya berupaya belajar dari sana,” ujarnya. Namun apabila pemberontakan selama satu dekad berakhir pada 2006, bekas askar kanak-kanak seperti Rai tidak dibenarkan menyertai tentera negara. Tanpa wang atau prospek kerjaya, dia bersedia menerima kerja di sebuah kilang elektronik di Malaysia, tetapi pengajar karate menggesanya supaya tinggal di Nepal.

    Dia tidak mampu membayar tambang bas 15 sen ke stadium terdekat, oleh itu memulakan latihan larian di jalan raya sesak di ibu negara, di mana dia dijemput menyertai satu perlumbaan.

    Berpakaian dalam kemeja-t murah dan kasut AS$3, dia berlari berjam-jam lamanya sebelum dia rasa pening dan berhenti untuk meminum jus dan makan mi.

    “Saya telah berlari naik dan turun bukit di kampung saya sejak saya masih kecil, maka ia bukan sesuatu yang baharu bagi saya,” ujarnya.

    Rai memenangi pertandingan pertama, dan sepasang kasut larian, sekali gus memulakan kerjayanya dalam bidang sukan tersebut. Kini berusia 33 tahun, kecederaan dan pandemik telah menghambat aktivitinya, dan dia lebih menumpu untuk melatih wanita lain.

    Inisiatif itu, dibiayai kumpulan komuniti Hong Kong Asia Trail Girls, memilih budak perempuan berpotensi dari seluruh Nepal untuk mengikuti program sembilan bulan di Kathmandu.

    Selain pakaian olah raga dan kasut lari, mereka diberikan kursus dalam bahasa Inggeris, pidato awam dan pengendalian media sosial – dengan latihan panduan pelancongan satu pilihan tambahan.

    “Saya berkongsi apa yang saya tahu dengan budak perempuan yang ingin menyertai acara larian,” kata Rai. “Saya mahu mereka menjadi bebas, walaupun sekiranya pada masa depan, mereka tidak menjadi pelari.”

    Di antara prospeknya sekarang adalah Anita Rai, 22, anak perempuan seorang petani di Solukhumbu, daerah yang termasuk Gunung Everest.

    “Saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan jika saya tidak terpilih,” katanya.

    “Kami berlari menaiki dan menuruni bukit sepanjang masa di kampung saya, tetapi saya tidak tahu ia boleh menjadi satu sukan juga.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...