Oleh Sakini Mohd Said
KUALA PILAH – “Kebanyakannya beranggapan buah nanas sedap dimakan atau benar-benar masak apabila kulit mata di luar badannya itu bertukar warna keseluruhannya daripada hijau kepada oren kekuningan.”
“Tetapi, tidak untuk nanas jenis MD2 kerana itu menandakan ia sudah terlebih masak dan tidak sedap lagi dimakan. Paling terbaik menikmati nanas jenis ini adalah ketika kulit luarnya menunjukkan separuh kuning manakala bahagian atasnya masih hijau, tetapi ramai tidak percaya dan memeramnya??????,” kata Arun Vythiligam.
Mendengar cerita Arun yang begitu berpengetahuan mengenai nanas premium sambil disajikan panorama indah ladang nanas berkeluasan kira-kira 8.9 hektar, mungkin ramai tidak menyangka bahawa ia sebenarnya adalah hasil kudrat daripada seseorang yang pernah bergelar penghuni tirai besi sebelum ini. Itulah kisah kehidupan Arun, 40, seorang bekas banduan. Beliau disabitkan kesalahan samun berkumpulan di bawah Seksyen 395/397 dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun pada tahun 2012.
Bagaimanapun, dia yang merupakan bekas ketua jurutera di sebuah kilang ternama diberi peluang untuk menghabiskan baki hukuman di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan pada 2014 sehinggalah dibebaskan pada 2016.
“Saya pernah tersalah langkah sebelum ini kerana menyalahgunakan kepandaian untuk menceroboh sistem keselamatan bagi tujuan rompakan disebabkan rambang mata dengan tawaran RM100,000 satu malam untuk tugas itu sahaja.”
“Saya bersyukur kerana diberi peluang ini. Segala pengetahuan dan kemahiran tanaman nanas dipelajari ketika saya di PPP, Gemas yang diajar oleh pegawai penjara dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Dengan ilmu dimiliki ini, saya mahu mulakan hidup baru, ” katanya.
Lagi tentang nanas MD2
Bercakap lebih lanjut tentang tanggapan orang tentang nanas, Arun berkata ia wujud disebabkan majoriti nanas sebelum ini seperti Moris mahupun Josapine hanya masak apabila warna kulit buah ini bertukar warna sepenuhnya dari pangkal bawah buah sehinggalah ke atas.
Berbeza dengan MD2, kelainannya itu menjadikan ia sangat unik di samping rasanya yang sungguh manis dengan tahap kemanisan tinggi sehingga diberi pengiktirafan sebagai nanas premium.
“Ia sangat istimewa kerana rasanya tidak masam dan manisnya lain daripada jenis nanas sedia ada. Jadi, sayanglah kalau tersalah tengok warna kemasakan MD2 kerana rasanya yang manis akan hilang dan ada terasa sedikit seperti bergas. Ini kerana, kandungan gula pada buah yang terlalu masak akan mengalami proses penapaian,” katanya.
Ditemui di ladang Seri Menanti Valley Farm ketika liputan khas bersama Bernama baru-baru ini anjuran Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Arun berkata pihaknya kini menerima banyak tempahan daripada peniaga untuk mendapatkan nanas MD2 sempena Tahun Baharu Cina.
“Selain manis, ia juga ranggup kerana isinya padat, tidak lidas atau pedih lidah apabila memakannya dalam jumlah yang banyak. Dengan syarat, jangan ia terlebh masak. Disebabkan itu, harga buah ini agak mahal kerana ia dijual pada RM6-RM8 sekilo berbanding nanas biasa yang hanya RM2 sekilo,” katanya yang merupakan penyelia di ladang ini.
Bekas banduan
Tidak kisah gambar dan namanya disiarkan penuh, bagi Arun dia mahu menghargai sepenuhnya peluang kedua yang diperolehinya itu untuk mengembangkan lagi kerjaya sebagai petani. Selain membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan yang sering kali dipandang hina ini juga boleh melakar kejayaan serta menjadi aset penting buat negara.
“Misalnya tanaman nanas di ladang ini, ia adalah hasil usaha saya bersama rakan, Anitaaznor yang juga bekas banduan dan beberapa pekerja lain. Sebelum ini, ladang berkeluasan kira-kira 80.9 hektar ini hanya ditanam dengan durian, ciku, kelapa sawit. Kami juga ditugaskan untuk menanam nanas seluas kira-kira 8.9 hektar di sini,” katanya.
Menurut lelaki berasal dari Klang ini, dia bersama rakannya bertuah kerana dipertemukan dengan pemilik ladang tersebut, Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman yang banyak membantu mereka meneruskan sinar baharu.
Namun, tidak buat sesetengah rakannya yang lain. Agak menyedihkan kerana masih ada lagi majikan yang memandang sinis terhadap golongan berstatus banduan sekali gus menyukarkan mereka mendapat pekerjaan.
“Saya tidak menafikan ada banduan mengulangi semula jenayah, tetapi ramai sebenarnya hendak berubah. Masyarakat harus bagi peluang kedua kepada kami,” ujar Arun.
Penjimatan optimum
Seramai 1,113 ODS berjaya memilki sijil kemahiran di bawah program SLDN di mana 466 daripadanya adalah ODS dari PPP, Gemas, sejak ia (SLDN) diperkenalkan di semua PPP pada tahun 2016.
Ia adalah hasil kerjasama antara penjara bersama rakan strategik seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan sebagainya
Menariknya, program yang bertitik-tolak daripada pemikiran Strategi Lautan Biru (NBOS) ini bukan sahaja menunjukkan keberhasilan dalam membantu banduan kembali kepada pangkuan masyarakat bahkan juga banyak kejayaan lain tercapai khususnya dari sudut penjimatan kos perbelanjaan kerajaan.
“Konsep PPP adalah menempatkan sekumpulan banduan di kem tentera bagi tujuan mengawal dan memulih banduan secara kerjasama antara penjara dan ATM. Ini membantu pengurangan kos. Misalnya, pembinaan sebuah penjara di Seberang Perai, Pulau Pinang yang mampu menampung kapasti 1500 ODS menelan kos sebanyak RM255.0 juta.”
“Sedangkan, hanya RM22.8 juta digunakan untuk menam-pung kapasiti penghuni yang lebih kurang sama di lima buah PPP iaitu 1450 ODS melalui konsep PPP dengan mengoptimumkan kawasan lapang kem tentera. Ini adalah penjimatan sebanyak RM232.2 juta,” katanya.
Selain itu, kos penyelenggaraan di kawasan kem tentera dapat diminimumkan apabila kerja kebersihan longkang, memotong rumput dilakukan sendiri oleh ODS sebagai antara satu aktiviti pemulihan di PPP.
Berdasarkan data daripada Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) penjimatan sebanyak RM2.9 juta pada tahun 2016 direkodkan untuk kos kerja penyelenggaraan kawasan yang dilaksanakan oleh ODS di lima buah kem tentera berbanding dibuat kontraktor awam.
Banyak kejayaan
Paling penting, PPP berjaya mengurangkan kadar residivis (orang yang mengulangi jenayah) dengan mencatatkan peratusan amat rendah iaitu 0.45 peratus dari Jan 2014 hingga Jan 2017, sekali gus membuktikan keberkesanan program pemulihan ini.
“Banyak kejayaan menarik tercipta hasil daripada program ini. Malah, matlamat utama NBOS iaitu impak positif, kos minimum, pelaksanaan pantas dan perubahan mampan dapat dicapai selepas ia dilancarkan.
“Kenyataan ini berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh banyak pihak termasuklah universiti awam. Misalnya, kajian yang dilaksanakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan PPP secara keseluruhannya baik dan mendapat maklumbalas positif ODS,” katanya.
Dengan segala kejayaan ini, maka tidak menghairankanlah apabila PPP sentiasa menerima lawatan orang kenamaan mahupun negara luar seperti Namibia, Bangladesh, Korea, dan Ukraine.
“Kaedah pemulihan ini mungkin merupakan satu-satunya yang wujud di dunia sehingga menarik beberapa negara luar untuk melihat sendiri proses pemulihan banduan yang amat unik ini. Oleh itu, masyarakat seharusnya tidak lagi memandang serong bekas banduan kerana ramai yang sudah berjaya,” katanya. – Bernama