Bekas bintang DPMM FC, Gazale terus pamer aksi hebat

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bekas penyerang DPMM FC, Daud Gazale membuat kemunculan hebat pada awal musim dengan Kelab Deportes Conception setelah menjaringkan gol berturut-turut dalam perlawanan liga Divisyen Campeonato Segunda di Chile.

Penyerang yang berpengalaman itu menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan musim ini dalam kemenangan 2-1 menentang Colchagua CD bulan lalu dengan satu gol dalam kekalahan 3-2 menentang Deportes Colina.

Namun, Gazale tidak beraksi lama menentang Colina awal minggu ini setelah dia digantikan oleh Hernan Veras pada minit ke-18.

Pemain berusia 36 tahun itu tampak dalam keadaan baik ketika dia melepaskan rembatannya ke sudut bawah gawang untuk gol pembukaan di Stadium Bicentenario Municipal de La Florida.

Dua golnya dengan El Conce melonjakkan kedudukan beliau sebagai penjaring terbanyak pasukannya selepas dua perlawanan di divisyen ketiga Chile.

Bekas bintang DPMM FC, Daud Gazale membuat kemunculan hebat bersama Kelab Deportes Conception setelah menjaringkan gol berturut-turut dalam perlawanan. – Gambar dari Deportes Conception

Gazale, yang pernah menarik minat kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain dan Real Betis, bermain untuk DPMM FC di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih, Steve Kean pada musim 2017 setelah menyertainya dari kelab Chile, Audax Italiano.

Pemain Chile itu menikmati musim terbaiknya bersama pasukan DPMM FC ketika dia membuka rekod jaringan dengan kemenangan 2-1 menentang Hougang United di Stadium Hougang.

Namun, dia meninggalkan kelab pada akhir musim tersebut ketika kelab menduduki tempat kelapan. Gazale kembali ke kelab masa mudanya setelah 12 tahun dalam karier yang membawanya ke Romania, Mexico, Argentina dan Brunei.

Dia memulakan kerjaya profesionalnya dengan Deportes Conception di mana dia menjaringkan 23 gol dalam 64 penampilan.

Pemain Chile itu memperoleh kejayaan apabila dia membantu Universidad Catolica memenangi Copa Chile pada tahun 2011 dengan jaringannya pada perlawanan kedua menentang Magallanes setelah kemenangan menerusi sepakan penalti.