Bekas calon presiden turun padang

SEOUL, 3 APRIL – Apabila hospital di bandar Daegu, Korea Selatan bergelut dengan kebanjiran pesakit koronavirus (COVID-19), kerajaan merayu doktor untuk membantu, dan antara yang tampil ke depan adalah bekas calon presiden, Ahn Cheol Soo.

Korea Selatan adalah antara negara luar China pertama berdepan ancaman COVID-19. Namun, program ‘jejak, uji dan rawat’ yang dilakukan secara menyeluruh dan dibantu kit ujian pantas serta kempen penjarakkan sosial membolehkan negara itu berjaya mengawal keadaan, dengan kurang daripada 10,000 kes pada Rabu, selain mencatat kadar kematian antara yang terendah.

Seperti dijangka, sejumlah besar kes positif muncul di Daegu, iaitu pusat penyebaran wabak di Korea Selatan.

Apabila hospital di bandar itu kekurangan tenaga kerja, kerajaan merayu bantuan persatuan doktor dan Ahn, 58 serta isterinya yang juga seorang profesor perubatan tampil ke depan.

Beliau membantu merawat sehingga 90 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) setiap hari, dan kelihatan letih namun tetap komited dalam pakaian khas yang dibasahi peluh.

“Seorang pesakit berusia 60 tahun memberitahu saya, suaminya baru meninggal dunia sehari sebelum itu akibat COVID-19 di hospital lain.

“Beliau tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kerana mayat perlu segera dibakar. Wanita itu juga tidak dapat hadir di upacara pembakaran mayat kerana sedang dirawat.” – AFP