Bekas CEO PepsiCo meninggal dunia pada usia 99 tahun

MOSCOW, 21 SEPT – Donald Kendall, yang mengetuai syarikat makanan dan minuman Amerika Syarikat (AS), PepsiCo pada 1971-1986, meninggal dunia pada usia 99, lapor agensi berita Sputnik, memetik kenyataan penghargaan syarikat itu ke atas bekas CEO tersebut.

“Kita di PepsiCo bersedih dengan pemergian Don Kendall. Don adalah arkitek keluarga PepsiCo. Beliau tanpa henti mengembangkan perniagaan kami, seorang pemimpin berani, dan jurujual utama.

“Beliau mempercayai perniagaan adalah cara untuk membina jambatan antara budaya, meletakkan asas komitmen kita untuk Menang dengan Tujuan dan menentukan nilai-nilai yang kita sebut hari ini sebagai The PepsiCo Way,” menurut kenyataan dari syarikat tersebut.

Syarikat pengguna gergasi itu menambah walaupun Kendall mengundurkan diri daripada jawatannya pada 1986, beliau terus mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat itu, meletakkan seluruh dedikasinya untuk syarikat selama 39 tahun.

Bekas CEO itu bersahabat dengan Presiden AS Richard Nixon, yang membawa Pepsi sebagai “produk pengguna AS pertama yang dibuat dan dijual di Rusia” setelah menghadiri Pameran Nasional Amerika di Moscow pada 1959 dan pemimpin USSR ketika itu, Nikita Khrushchev merasai minuman tersebut.

Syarikat PepsiCo ditubuhkan pada tahun 1965 dengan penggabungan Syarikat Pepsi-Cola dan Frito-Lay, Inc.

Sejak itu, ia telah memperluas pengeluaran produknya daripada minuman Pepsi hingga pelbagai jenama makanan dan minuman lain, yang terbesar adalah Produk Tropicana.

Syarikat itu mengembangkan pengeluarannya ke Kesatuan Soviet pada 1959, dan kemudian merundingkan monopoli cola pada 1972. – Bernama