BANDAR GUATEMALA, 17 April – Mexico telah meminta Guatemala supaya menghantar pulang seorang bekas gabernor yang disyaki menggelapkan beratus juta dolar, kata pegawai semalam.
Javier Duarte, dari negeri Veracruz, ditahan pada kira-kira 8 malam di sebuah hotel mewah di bandar peranginan pelancong Panajachet semalam, kata polis Guatemala.
Mexico memfail permohonan ekstradisinya pada malam itu.
“Sekarang terdapat tempoh 60 hari di mana isu ekstradisi dua hala sedang dipertimbangkan. Kemudian hakim akan memutuskan sama ada syarat-syarat yang diperlukan dipenuhi dan sama ada dia harus dihantar pulang,” kata pendakwa Mexico Omar Gracia pada satu taklimat di kedutaan Mexico di Bandar Guatemala.
Duarte telah menginap di hotel empat-bintang selama sekurang-kurangnya dua hari, di mana dia membayar dengan wang tunai, menggunakan nama palsu dan ditemani oleh isterinya, beritahu penolong pengarah polis Guatemala Stu Velasco kepada televisyen Milenio.

Perisik menggari bekas gabernor itu, yang ketika ditahan memakai kemeja biru, anak baju gelap dan kaca mata. Berat badannya telah naik sejak melarikan diri enam bulan lalu.
Duarte, 43, diserah kepada mahkamah pencegahan narkotik.
Pihak berkuasa Mexico mengeluarkan satu waran tangkapan ke atas Duarte pada Oktober kerana bertanggungjawab dalam jenayah terancang dan penggelapan wang. Interpol juga mengeluarkan satu waran tangkapan antarabangsa ke atasnya.
Darte, daripada Parti Revolusi Institusi (PRI), meletak jawatan pada tahun lalu sebelum penggalnya berakhir dan seterusnya menyembunyikan diri. – AFP