Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bekas guru didik isu ‘kemiskinan haid’ dalam kalangan pelajar

    GABORONE – ‘Kemiskinan haid’, yang ditakrifkan sebagai kekurangan akses kepada produk haid, pendidikan dan kebersihan, menyebabkan seorang daripada setiap 10 gadis Afrika ponteng sekolah setiap tahun, menurut Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Tanpa pendidikan dan sumber yang sewajarnya, kanak-kanak perempuan sering terpaksa tinggal di rumah, terutamanya di kawasan luar bandar. Akibatnya, mereka terlepas 10 hingga 20 peratus daripada hari persekolahan mereka dan, dalam beberapa kes, ada yang tercicir daripada sekolah.

    Agrieneth Masule berazam untuk mengubahnya di Mochudi, sebuah kampung di daerah Kgatleng, kira-kira 37 kilometer timur laut ibu kota Botswana, Gaborone.

    Masule, 34, menjalankan projek kebersihan wanita yang mengumpul dana untuk tuala wanita, yang kemudiannya diberikan kepada gadis yang memerlukan melalui Kelab Amal Motlaletsi. Motlaletsi bermaksud bantuan kepada orang yang memerlukan dalam bahasa Setswana tempatan.

    Sejak enam tahun lalu, Kelab Amal Motlaletsi telah bekerjasama dengan enam sekolah di daerah Kgatleng, menyumbangkan lebih 10,000 tuala wanita secara keseluruhan.

    Agrieneth Masule ketika menjalankan projek kebersihan feminin dengan mengumpul dana untuk tuala wanita yang diberikan kepada kanak-kanak perempuan yang memerlukan melalui Kelab Amal Motlaletsi. – Xinhua

    Harga tuala wanita amat mahal, dengan bekalan sebulan untuk seorang gadis berharga purata 150 pula (kira-kira AS$12), hampir satu perempat daripada pendapatan bulanan penduduk luar bandar, kata Masule, yang mengasaskan Kelab Amal Motlaletsi.

    Masule, ibu tunggal dengan dua anak, pernah mengajar di beberapa sekolah rendah, tetapi kontrak mengajar terakhirnya tidak diperbaharui oleh kerajaan. Dia kini memberi pelajaran persendirian kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menyara dirinya dan anak-anaknya.

    Sementara menunggu untuk mendapatkan jawatan mengajar sepenuh masa di salah satu institusi tempat dia membuat permohonan, Masule memutuskan untuk memberi tumpuan kepada projek yang membantu kanak-kanak berumur, terutamanya perempuan.

    April lalu, dia melaksanakan aktiviti berjalan kaki sejauh 252 kilometer untuk meningkatkan kesedaran tentang ‘kemiskinan haid’, terutama kesannya terhadap akses seorang gadis kepada pendidikan.

    “Ramai gadis ponteng sekolah kerana mereka tidak mempunyai tuala wanita. Orang ramai mentertawakan dan membuli mereka. Mereka berasa tidak selesa dan mereka pulang ke rumah,” kata Masule kepada Xinhua.

    Pasukannya berusaha mendapatkan tuala wanita untuk kanak-kanak perempuan yang memerlukan untuk membantu menamatkan pendidikan asas mereka, katanya.

    “Awda tidak boleh lari daripada mengalami haid. Kitaran haid tidak boleh menghalang gadis-gadis ini daripada mencapai impian mereka,” kata Masule.

    Gaonyatsege Ntwayagae Phefo, guru kanan bimbingan dan kaunseling di Kgamanyane Community Junior Secondary School, berkata komuniti sekolah kebanyakannya pelajar memerlukan yang mana ibu bapa mereka tidak bekerja, dan terpaksa berkongsi tuala wanita dengan ahli keluarga yang lain, dan kadangkala mereka tidak mempunyai apa-apa apabila mereka datang haid.

    “Sejak pendermaan tuala, kanak-kanak perempuan telah mendapat keyakinan dan lebih terbuka untuk membincangkan isu haid,” kata Phefo.

    Masule memberitahu Xinhua, projek itu telah berjaya dan dia gembira dengan hasilnya, di mana guru pembimbing melaporkan ketidakhadiran ke sekolah berkurangan kerana sumbangan.

    Beliau berkata badan amal itu masih berdepan cabaran kerana haid berlaku setiap bulan, jadi lebih banyak penaja dan sumbangan diperlukan.

    Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan tuala wanita boleh guna semula yang lebih murah, lebih tahan lama dan mesra alam, kata Masule. – Xinhua

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...