Bekas juara dunia kenalkan Tai Chi di NY

NEW YORK – Seni mempertahankan diri kuno China Tai Chi kini menjadi sebahagian daripada kehidupan sesetengah masyarakat New York, berkat daripada usaha bekas seorang juara dunia seni mempertahankan diri Chen Suitan dan isterinya Lin Xu.

Kelas Tai Chi dan Festival Kesihatan Qigong serta acara komuniti yang me-reka kendalikan di perpustakaan dan kelab persaraan mendapat tarikan masyarakat New York berbilang kaum, bangsa dan agama yang berumur seawal lima hinggalah ke 70 tahun.

Chen mula belajar seni bela diri ini seawal umur enam tahun. Setelah berumur 30 tahun, Chen telah bersara daripada kariernya sebagai seorang atlet, di mana dia telah memenangi 32 pingat emas di pertandingan serantau dan antarabangsa.

Selepas menjadi seorang jurulatih dalam sukan ini selama beberapa tahun, Chen membuat keputusan untuk berhijrah ke New York pada tahun 2003 dengan harapan untuk meningkatkan lagi budaya China kepada dunia melalui Tai Chi.

“Tai Chi bukan sahaja sebuah perlawanan; ia bermaksud lebih daripada itu. Ia merupakan satu gaya kehidupan,” kata Chen.

Chen Sitan (kanan) mengajar pelajarnya seni pedang Tai Chi dan seni bela di Sekolah Seni Bela Diri Syosset, New York. – Xinhua
Lin Xu mengajar kanak-kanak seni bela diri di Akademi Sitan Tai Chi dan Seni Bela Diri New York. – Xinhua

Pasangan tersebut mula mengajar kanak-kanak Tai Chi dan beberapa jenis seni bela diri di sekolah dan kemudian menubuhkan akademi ‘Sitan Tai Chi and Martial Arts’ bagi memperkenalkan lagi Tai Chi serta menyediakan beberapa forum bagi yang berminat dalam seni bela diri.

Sekolah tersebut kini menyediakan beberapa jenis Tai Chi seperti seni bela pedang Tai Chi, Kungfu Tai Chi, Qigong dan beberapa lagi tahap seni bela diri.

Berasal dari China, pergerakan perlahan Tai Chi yang perlahan dan diikuti dengan pernafasan dalaman merupakan satu pergerakan yang indah. Pergerakan ini dikenali sebagai ‘qi’ atau kuasa kehidupan, sejenis ‘aliran’ yang dimiliki oleh semua orang, kata Lin.

Terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa amalan ini, yang berasal dari China merupakan satu seni bela diri yang mempunyai nilai untuk merawat atau menghindari pelbagai masalah kesihatan.

Bentuk latihan yang lembut ini dapat membantu mengekalkan kekuatan, fleksibiliti dan keseimbangan, serta aktiviti yang sesuai untuk diamalkan sepanjang hayat, kata seorang pengkaji dari Sekolah Perubatan Harvard.

Lin berkata, pelajar yang datang ke kelasnya dengan umur yang berbeza mempunyai sebab mereka tersendiri untuk mempelajari seni bela diri ini.

“Ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas saya untuk menguatkan lagi daya kecergasan mereka dan belajar mengenai budaya orang Cina, orang dewasa mengikuti kelas saya untuk melepaskan tekanan daripada kerja, dan orang yang bersara pula mengamalkannya untuk mencegah daripada sebarang masalah kesihatan,” katanya.

“Sebagai seorang jurutera dan seorang pengurus jualan, saya mempunyai postur yang lemah akibat daripada kerja. Saya memerlukan semula gaya hidup yang sihat selepas bersara, dan saya dapati Tai Chi mampu membantu saya,” kata salah seorang yang mengikuti kelas di Akademi Sitan Tai Chi dan Martial Arts selama 11 tahun, Frank Mandarino.

Dia menambah Tai Chi amat sukar kerana orang yang mengamalkannya harus menyelaraskan otot mereka ketika membuat pergerakan, dan dia menyukai cabaran tersebut.

“Apabila anda melakukannya berkali-kali, ia akan menjadi lebih tenang,” kata Mandarino, 81 tahun.

Chen dan Lin tidak berpuas hati dengan hanya mngajar seni bela diri, tujuan asal mereka ialah untuk memperkenalkan lagi gaya hidup orang Cina melalui seni bela diri.

“Bahasa adalah salah satu halangan terbesar apabila mempromosikan budaya cina kepada orang asing, namun Tai Chi merupakan bentuk pergerakan badan.”

Dia menambah, persembahan Tai Chi di tempat awam sentiasa diterima dengan baik kerana penduduk setempat dapat melihat keunikan Tai Chi sendiri.

“Itu lebih kuat daripada kata-kata,” kata Lin.

Chen, pengasas dan pengerusi persatuan Tai Chi Qigong di Amerika Syarikat, memulakan Tai Chi dan Festival Qigong di New York, telah mengadakan festival tersebut selama lapan tahun.

Festival tahunan ini menampilkan pelbagai persembahan, demonstrasi dan kelas mini yang disertai oleh kumpulan dari kota New York.

“Seiring berjalannya waktu, orang ramai mula menyedari nilai teras Tai Chi yang seimbang,” kata Chen.

Beliau menjelaskan Tai Chi merangkumi falsafah orang Tao, yang telah menganjurkan keseimbangan, keseimbangan antara badan dan minda, dan keseimbangan antara manusia dan alam.

“Kami mengingati falsafah tersebut melalui pengamalan Tai Chi setiap hari,” kata Chen.

Walaupun Tai Chi semakin terkenal dengan pantas di kota New York serta kawasan sekelilingnya, Chen masih belum berpuas hati.

Dia sedang membangunkan program latihan dan sistem penggredan yang mampu menjadikan sekolahnya melatih lebih ramai guru yang berkelayakan.

“Sistem latihan dan penggredan yang standard, berkesan dan latihan praktikal mampu mengumpulkan ramai guru yang berada di luar sana untuk bekerjasama mempromosikan Tai Chi bagi tujuan yang baik,” kata Chen. – Xinhua