ISTANBUL, 22 MAC – Pemenang Piala Dunia, Mesut Ozil hari ini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak selepas karier antarabangsa yang gemilang bersama pasukan kebangsaan Jerman dan peringkat kelab iaitu Real Madrid dan Arsenal.
Pemain tengah yang berusia 34 tahun itu membantu Jerman memenangi Piala Dunia di Brazil pada 2014, namun berhenti bermain untuk pasukan kebangsaan selepas Jerman tersingkir dari kejohanan di Rusia pada tahun 2018.
“Selepas membuat pertimbangan, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak profesional,” kata Ozil.
Ozil, yang dilahirkan di bandar Gelsenkirchen di Jerman tetapi berketurunan Turki, bermain di beberapa arena bola sepak terbesar tetapi turut terlibat dalam politik antarabangsa dan tuduhan perkauman.
Apabila Jerman tersingkir daripada Piala Dunia 2018 di peringkat kumpulan, Ozil yang cedera menuduh rakyat Jerman melakukan serangan ‘perkauman.’
Karier kelabnya terus menyerlah dengan hantaran dan visi yang cekap sekali gus membantunya untuk melengkapkan perpindahan dari Bundesliga ke Real Madrid yang dikendalikan oleh Jose Mourinho pada 2010.
Dia tidak lama kemudian menjadi penyumbang assist tertinggi di La Liga semasa membantu kelab Sepanyol itu merangkul kejuaraan liga ke-32 mereka pada 2012.
Perpindahannya ke Arsenal pada 2013 membantu kelab London itu menamatkan kemarau Piala FA mereka pada tahun berikutnya.
Pada 2014, Ozil memulakan perlawanan akhir ketika Jerman menewaskan Argentina 1-0 di Maracana di Rio de Janeiro hasil jaringan Mario Gotze pada masa tambahan.
Ozil berulang kali disenaraikan dalam anugerah penerima Ballon d’Or tetapi peringkat akhir kariernya diganggu oleh pertikaian mengenai masa bermain dan persahabatan peribadinya yang rapat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. – AFP
