Bekas juara tenis dibebaskan dari penjara

JOHANNESBURG, 26 APRIL – Bekas juara tenis dan pesalah yang disabit memperkosa kanak-kanak, Bob Hewitt telah dibebaskan dari penjara, selepas diberi parol, kata kementerian perkhidmatan pemulihan Afrika Selatan.

Hewitt, kelahiran Australia, telah didapati bersalah pada Mei 2015 kerana memperkosa dua orang kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun pada awal tahun 1980an, dan menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun pada tahun 1994.

Dia dihukum penjara selama enam tahun dan telah dipenjarakan di sebuah penjara di wilayah pesisir timur Cape.

Hewitt, 80, menjalani hukuman minimum yang ditetapkan sebelum dia dilepaskan.

“Kami boleh mengesahkan penempatan parol dan banduan kini sudah pulang,” beritahu jurucakap kementerian Singabakho Nxumalo kepada AFP.

Bekas pemain bintang tenis sebelum ini cuba membuat rayuan untuk mengurangkan hukumannya tetapi ditolak oleh Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan pada tahun 2016.

Dilahirkan di Australia, Hewitt menetap di Afrika Selatan hampir sepanjang hidupnya.

Nama bekas juara beregu Grand Slam itu telah dikeluarkan dari Hall of Fame Tenis Antarabangsa selepas beberapa siri tuduhan gangguan seksual terhadapnya muncul pada tahun 2013. – AFP

Bob Hewitt telah dibebaskan dari penjara setelah menjalani hukuman penjara selama enam tahun atas tuduhan memperkosa kanak-kanak pada tahun 1980an. – AFP