Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Bekas juruwang Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dikenakan denda $27,500 oleh Mahkamah Perantaraan di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah $82,207.56.
Hukuman terhadap Nurulhaini binti Haji Nayan, 37, dibuat oleh Hakim Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin dan jika gagal membayar denda itu, tertuduh akan dipenjarakan selama 31 bulan.
Hakim Haji Nabil Daraina ketika menjatuhkan hukuman turut mengambil kira yang tertuduh telah membayar semua wang yang digelapkan namun tertuduh juga harus dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan dengan mempertimbangkan kepentingan umum.
Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh pada pertengahan April 2009 ditugaskan sebagai kerani akaun, yang mana tugasnya termasuk melakukan kerja perakaunan, kerani dan menutup akaun yang tidak aktif.
Perbuatan tidak jujur tertuduh terbongkar apabila pelanggan bank mendapati terdapat perbezaan antara simpanan tunai dengan simpanan slip dan penyata bank.
Pihak bank terus menjalankan siasatan pada Jun 2009, yang mana tertuduh didapati telah melakukan beberapa pembetulan ralat untuk menyalahgunakan wang.
Sebaik laporan polis dibuat, Bahagian Siasatan Jenayah dan Perdagangan, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam penyiasatan mereka mendedahkan antara April 2008 dan Mac 2009, tertuduh yang ditugaskan sebagai juruwang telah melakukan pecah amanah membabitkan sejumlah wang daripada akaun pelanggan.
Tertuduh ketika ditugaskan sebagai kerani akaun bank antara Mei dan Jun 2009 turut didapati melakukan beberapa pemindahan dana kepada enam akaun iaitu dua akaun suaminya, tiga akaun anak-anaknya dan juga akaun abang iparnya.
Pemindahan dana itu dibuat selepas tertuduh mendapat kebenaran dan diberi kepercayaan oleh penyelianya untuk menutup akaun yang tidak aktif, yang mana dia mengambil peluang itu untuk menggelapkan sejumlah wang daripada akaun tersebut. Tertuduh mendakwa bahawa ahli keluarganya tidak mengetahui yang dia telah membuka akaun tersebut atas nama mereka.
Tertuduh dalam keterangannya turut mengakui, yang dia tidak mengikut prosedur betul untuk menutup akaun tidak aktif, yang mana dia gagal untuk mendapatkan pengesahan dan kebenaran daripada pemilik akaun tersebut.
Tertuduh yang mengakui kesalahannya telah menggunakan wang itu untuk tujuan peribadinya seperti melabur dalam Forex dan membeli barangan seperti telefon bimbit, solekan, minyak wangi dan barangan berjenama.
Hakim Haji Nabil Daraina turut memerintahkan untuk barang-barang peribadi tertuduh seperti beg tangan dan kasut berjenama yang dirampas polis untuk diserahkan kepada kerajaan.