Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Bekas ketua jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo ditahan

    TOKYO, 17 OGOS – Bekas ketua jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, Haruyuki Takahashi, ditahan kerana disyaki menerima rasuah, lapor Sputnik.

    Pada akhir Julai, polis Jepun bertindak menggeledah kediaman Takahashi dan ibu pejabat syarikat pengiklanan Dentsu, yang terlibat dalam proses pemilihan penaja Sukan Olimpik Tokyo, menurut stesen penyiaran NHK. 

    Takahashi merupakan ahli lembaga pengarah syarikat itu dan disyaki menerima rasuah 45 juta yen (AS$334,590), menurut stesen penyiaran itu. 

    Dentsu dipercayai menerima rasuah daripada seorang penaja Sukan Olimpik, iaitu syarikat pakaian AOKI, di bawah kontrak penyediaan servis konsultasi.

    Dalam masa yang sama, AOKI turut menerima kontrak bagi pakaian rasmi jawatankuasa Olimpik dan penggunaan simbol Olimpik.

    Haruyuki Takahashi ditahan kerana disyaki menerima rasuah.- AP

    Bekas pengerusi AOKI Holdings Hironori Aoki, turut ditahan berhubung kes itu.

    Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa Takahashi telah dituduh menerima rasuah sebanyak 51 juta yen.

    Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa melarang ketua jawatankuasa penganjur Olimpik daripada menerima sebarang imbuhan untuk aktiviti yang berkaitan dengan tugas mereka.

    Takahashi telah menafikan semua tuduhan, menegaskan bahawa khidmat perundingan melibatkan sukan secara umum, dan bukan untuk Sukan Olimpik.

    Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo sebelum ini dijadualkan pada 2020, tetapi ditangguhkan selama setahun kerana wabak COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...