Bekas ketua pengintip Venezuela hilang

MADRID, 13 NOV – Polis Sepanyol berkata pada hari ini mereka tidak berjaya mengesan bekas ketua pengintip yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) bagi ekstradisi atas tuduhan penyeludupan dadah.

Polis memberitahu The Associated Press pegawai mereka tidak dapat mencari Mejar Jeneral Hugo Carvajal.

Laman sesawang berita El Espanol melaporkan pada Jumaat bahawa mahkamah Sepanyol menolak keputusan yang dibuat ke atas waran tangkap AS dan ia telah mengarahkan pihak berkuasa untuk meneruskan permintaan ekstradisi itu.

Jurucakap bagi mahkamah kebangsaan berkata hari ini bahawa tiada keputusan mengenai kes itu telah diumumkan pada masa ini.

Peguam Carvajal, Maria Dolores de Arguelles berkata kliennya tidak boleh dianggap sebagai buruan kerana tertuduh belum diberitahu secara rasmi mengenai keputusan mahkamah yang memberikan ekstradisi dan tiada saman mahkamah atau waran tangkap dikeluarkan.

Carvajal bebas dengan ikat jamin, tetapi pasportnya telah dirampas dan dia tidak dibenarkan untuk meninggalkan wilayah Madrid, menurut syarat ikat jamin. Dia juga perlu melapor ke mahkamah setiap 15 hari – masa seterusnya pada hari Jumaat.

Pendakwa raya anti-dadah di Sepanyol telah membuat rayuan terhadap keputusan oleh mahkamah kebangsaan pada pertengahan September untuk menolak ekstradisi ke AS, di mana dia dikehendaki atas tuduhan penyeludupan dadah dan dakwaan lain. – AP

Gambar fail menunjukkan bekas ketua pengintip Venezuela Mejar Jeneral Hugo Carvajal berjalan keluar dari penjara ditemani oleh ahli keluarga di Estremera, Sepanyol – AP