Bekas menteri era Saddam meninggal dunia

BAGHDAD, 20 JULAI – Sultan Hashim, bekas menteri pertahanan yang berkhidmat ketika era pentadbiran Saddam Hussein, meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah penjara semalam, lapor agensi berita Anadolu.

“Bekas Menteri Pertahanan Sultan Hashim meninggal malam ini di penjara al-Hoot,” kata Qasim as-Saadi, pembantu kesihatan di Jabatan Kesihatan Dhi Kar.

Hashim menderita pelbagai penyakit kronik sejak beberapa tahun lalu, kata pegawai itu.

Dilahirkan pada 1944, Hashim antara tokoh terkemuka era Saddam dan menyertai semua peperangan dilalui Iraq sejak 1980-an, termasuk perang Iraq-Iran serta perang Teluk pertama dan kedua. – Bernama