Bekas menteri India meninggal dunia pada usia 82

NEW DELHI, 27 SEPT – Jaswant Singh, seorang ahli politik veteran India yang pernah dilantik menjadi menteri pertahanan, menteri kewangan dan menteri luar negara semasa berkhidmat, meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

Dalam kenyataan oleh sebuah hospital yang dikendalikan oleh pihak tentera berkata Singh telah dimasukkan ke hospital pada 25 Jun disebabkan oleh pelbagai penyakit dan meninggal dunia akibat serangan jantung awal hari ini.

Singh pada mulanya bertugas sebagai pegawai tentera India tetapi mengundurkan diri pada 1960an untuk meneruskan kerjaya dalam bidang politik.

Dia adalah antara anggota pengasas parti pemerintah nasionalis Hindu ketika ini, parti Bharatiya Janata atau BJP.

Dia merupakan penggubal undang-undang parlimen India sebanyak sembilan kali dan berkhidmat sebagai menteri pertahanan, kewangan dan luar negara apabila BJP berkuasa pada 1988 hingga 2004.

Pada 2009, Singh telah dibuang dari parti kerana memuji Mohammed Ali Jinnah, pengasas kepada musuh India, Pakistan, dalam bukunya ‘Jinnah: India, Partition, Independence’.

Singh kemudiannya dibenarkan kembali, tetapi dia menjauhkan dirinya dari parti pada 2014 dan tidak berjaya dalam pilihan raya sebagai calon bebas.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengucapkan takziah atas kematian Singh dalam siri Tweet dan berkata dia akan dikenang atas perspektif dalam hal ehwal politik dan masyarakat.

“Singh berkhidmat kepada negara dengan tekun, pertama sebagai tentera dan kemudian menceburi bidang politik,” kata Modi.

“Dia menangani portfolio penting dan meninggalkan kesan mendalam semasa menjadi menteri kewangan, pertahanan dan luar negara. Sedih atas pemergiannya,” jelasnya. – AP