WASHINGTON, 2 Mei – Seorang bekas pegawai kes Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jerry Chun Shing Lee, telah mengaku bersalah atas pertuduhan merancang untuk menghantar maklumat berkaitan pertahanan negara AS yang sensitif kepada China, lapor agensi berita Sputnik memetik siaran akhbar yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman.
“Seorang bekas pegawai kes Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengaku bersalah hari ini kerana bersubahat untuk berkomunikasi, menyampaikan dan menghantar maklumat pertahanan negara kepada Republik Rakyat China,” menurut siaran akhbar itu pada Rabu.
Menurut dokumen mahkamah, Lee, 54, meninggalkan CIA pada 2007 dan berpindah ke Hong Kong di mana dua pegawai risikan China telah menawarkan membayar beliau sebanyak AS$100,000 untuk maklumat pertahanan negara.
Lee akan dihukum pada 23 Ogos dan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup, menurut siaran akhbar itu. – Bernama