PUTRAJAYA, 25 Jun – Bekas pegawai khas kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1Malaysian Development Bhd (1MDB).
Perintah tahanan reman terhadap ‘Datuk’ itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 9:15 pagi berpakaian lokap SPRM berwarna oren dengan tangan bergari.
Sebelum ini, lelaki berumur 42 tahun itu dipanggil untuk diambil keterangan sebelum ditahan kira-kira 9:45 malam di ibu pejabat SPRM semalam.
Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara sebelum dilantik sebagai pegawai khas kepada Najib pada 2009. Beliau meletakkan jawatan pada 5 Jun lepas. – Bernama