Bekas pekerja Twitter didakwa mengintip

SAN FRANCISCO, 7 NOV – Dua bekas pekerja Twitter dan lelaki ketiga didakwa di Mahkamah Persekutuan San Francisco semalam kerana mengintip pengguna Twitter yang mengkritik keluarga diraja Saudi, umum Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS).

Dua warga Saudi dan seorang warga AS didakwa bekerjasama untuk membongkarkan butir-butir pemilikan di sebalik akaun Twitter pengkritik bagi pihak kerajaan di Riyadh dan keluarga diraja, kata jabatan.

Menurut fail mahkamah, ketiga-tiga tertuduh didakwa menggodam data pengguna, sebelum menyerahkannya kepada pegawai Arab Saudi dengan bayaran tertentu.

Mereka yang didakwa adalah bekas pekerja Twitter Ali Alzabarah dan Ahmad Abouammo, bersama Ahmed Almutairi, pegawai pemasaran yang mempunyai hubungan dengan keluarga diraja.

Menurut aduan lagi, Ahmad berulang kali mengakses akaun Twitter pengkritik keluarga diraja Arab Saudi pada awal 2015, malah melihat alamat e-mel dan nombor telefon yang mempunyai kaitan dengan akaun terbabit.

Dia turut mengakses akaun milik seorang lagi pengkritik kerajaan Arab Saudi bagi memperoleh maklumat peribadinya.

“Undang-undang AS melindungi syarikat AS daripada penggodaman asing. Kami tidak membenarkan syarikat AS atau teknologi AS menjadi alat penindasan asing dalam pencabulan undang-undang AS,” kata jabatan dalam satu kenyataan.

Tindakan guaman keluar tatkala hubungan AS-Saudi terjejas berhubung pembunuhan wartawan Saudi Jamal Khashoggi pada tahun lalu, yang menulis untuk akhbar The Washington Post. – AFP