Bekas pelajar ILP tawar khidmat sembur racun

PENDANG – Seorang bekas pelajar bidang teknologi plastik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, memanfaatkan peluang ketika penularan wabak COVID-19 dengan menawarkan perkhidmatan menyembur racun di sawah menggunakan dron sejak April lepas.

Mohd Saifullah Halim, 22, dari Kampung Paya Nedam, di sini berkata, dia memilih menceburkan diri dalam bidang ini, selepas terbukti  mampu menjana pendapatan lumayan.

“Ia keputusan tepat saya buat selepas habis belajar. Pada mulanya saya mulakan dengan seunit dron yang dibeli untuk kegunaan di sawah seluas 11 hektar, lama kelamaan saya mendapat tawaran daripada beberapa kenalan ayah dan penduduk kampung.

“… dari situ permintaan terhadap perkhidmatan itu meningkat secara mendadak dalam tempoh tersebut, dan membeli sebuah lagi dron untuk memperluaskan lagi perkhidmatan dan memenuhi permintaan petani yang meningkat di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui.

Mohd Saifullah berkata, setiap hari dia dan dua orang pembantunya yang diupah, mampu menyembur racun sehingga 10 hektar dengan menerima upah antara RM12 hingga RM20 bagi setiap 0.29 hektar sawah (1 relung).

Menurut anak kedua daripada tiga beradik, peningkatan mendadak perkhidmatan menyebur racun menggunakan dron ini, disebabkan ramai petani lebih berhati-hati untuk keluar rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

“Mereka lebih suka semburan menggunakan dron ini, kerana ia lebih rata dan dapat meningkatkan hasil mereka berbanding semburan biasa yang menggunakan pam, musim ini saya mendapat tempahan sehingga ke daerah Yan dan Alor Setar,” katanya yang meraih pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Sehubungan itu, beliau mengajak lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang teknologi ini, yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Peluang masih cerah dan tak ramai lagi menawarkan perkhidmatan semburan menggunakan dron, saya harap lebih ramai anak muda menceburi bidang ini yang masih berkurangan,” katanya yang turut menerima tempahan semburan racun dan baja, daripada para pekebun sayur. – Bernama

Mohd Saifullah Halim mengendalikan dron miliknya untuk menyembur racun di petak sawah. – Bernama