Bekas pelakon berhasrat tanding jawatan presiden

MANILA, FILIPINA, 22 SEPT – Datuk bandar Filipina yang terkenal berkata hari ini yang beliau akan bertanding bagi jawatan presiden dalam pilihan raya tahun hadapan yang dijangka menjadi persaingan untuk mengatasi Rodrigo Duterte.

Datuk Bandar Manila, Isko Moreno, yang dulunya kanak-kanak pengutip sampah sebelum menjadi seorang pelakon kemudian terlibat dalam politik, memberitahu agensi AP yang dia akan memerangi wabak koronavirus dan membasmi kemiskinan serta mempromosi demokrasi jika menang dalam pilihan raya 9 Mei tahun depan.

Dia mengumumkannya semasa berucap di sebuah sekolah awam di kawasan miskin tempatnya membesar.

Menemaninya adalah rakan bertan-ding calon naib presiden, Willie Ong, seorang ahli kardiologi yang memberi nasihat perubatan kepada warga Filipina dalam akaun Facebook dengan lebih 15 juta pengikut.

“Dengan rendah hati, saya mengumumkan kepada kamu, Mei akan datang tolong terima permohonan saya sebagai presiden Filipina,” katanya mendapat sorakan daripada para penyokongnya.

Menurutnya dia terpanggil untuk bertanding bukan kerana cita-cita tingginya itu tetapi melihatkan keadaan negara, ketika dia mengkritik respons pandemik pentadbiran Duterte, termasuk kekurangan perubatan untuk memerangi COVID-19. – AP

Datuk bandar Isko Moreno (kiri) bergambar bersama rakannya Dr Willie Ong selepas mengumumkan bidaannya untuk bertanding sebagai presiden Mei 2022. – AP