Bekas pemain NBA bertarung dengan COVID-19

LOS ANGELES, 8 SEPT – Bekas pemain NBA, Cedric Ceballos (gambar) berkata semalam bahawa dia bertarung dengan wabak koronavirus sejak 10 hari yang lalu, meminta sokongan daripada peminat melalui Twitternya.

Ceballos, 52, menghabiskan 11 musim di NBA, membantu Phoenix Suns mara ke peringkat final NBA pada 1992-1993, berkata dia bergelut untuk melawan kesan daripada virus pembunuh tersebut.

“Hari ke-10 saya berada di unit rawatan rapi, COVID-19 benar-benar memberi kesan kepada saya,” tulis Ceballos dan disertakan gambar dirinya memakai topeng oksigen.

“Apa yang saya minta daripada semua ahli keluarga, rakan adalah doa serta sokongan untuk pemulihan saya.

“Jika saya pernah melakukan kesalahan sebelum ini, benarkan saya membuat permohonan maaf secara terbuka. Perjuangan saya masih belum berakhir. Terima kasih.”

Ceballos dua kali menyertai Phoenix semasa kariernya selepas terpilih dalam pemilihan pemain ke-48 secara keseluruhan dalam Senarai NBA 1990.

Dia juga pernah bermain untuk Los Angeles Lakers antara tahun 1994 dan 1997, mengetuai senarai penjaring terbanyak pasukan pada 1994-1995 dengan 21.7 mata secara purata bagi setiap perlawanan.

Dia juga disenaraikan dalam pasukan All-Star pada musim tersebut namun tidak bermain disebabkan kecederaan. – AFP