Bekas pemandu bot calon tertua PRN Sabah

SEMPORNA, 14 SEPT – Usianya sudah mencecah 75 tahun, namun Taraji Ahmad, calon tertua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) mahu membuktikan bahawa beliau mampu menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Bugaya.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keramat dekat sini, Taraji, bapa kepada tiga anak lelaki dan empat anak perempuan berkata beliau sihat serta masih kuat dan berupaya untuk menjalankan tugas sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Anak kelahiran Kampung Bubul Semporna itu berkata beliau sudah lama bercita-cita mahu bertanding  menjadi wakil rakyat dan bersyukur hasrat itu akhirnya tercapai walaupun pada lewat usianya.

“Saya bercadang mahu mewujudkan sekurang-kurangnya dua kilang perusahaan kecil dan sederhana berkaitan perikanan dan produk akhir

hasil laut itu di kawasan ini bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan mereka tidak perlu keluar berhijrah lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. – Bernama

Calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Taraji Jamdi, 75, ketika ditemu ramah oleh Bernama di kediamannya, kelmarin. – Bernama