Bekas penasihat dakwa PM Britain berbohong

LONDON, 23 MEI – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, didakwa berbohong berhubung strategi imuniti kelompok ketika pandemik COVID-19 mula melanda negara itu.

Pendedahan itu dibuat bekas Ketua Penasihatnya, Dominic Cummings, menerusi kenyataan di Twitter yang mendakwa kerajaan pada mulanya mahu menangani wabak itu seperti demam dan cuba membangunkan imuniti kelompok secara semula jadi.

“Beliau memutuskan untuk berbohong, keputusan kurang bijak dan etika yang teruk untuk berbohong mengenainya.

“Perancangan rasmi adalah imuniti kelompok menjelang September 2020 tetapi perkara sebenarnya adalah apa yang diketahui Perdana Menteri, pelan asal adalah salah dan diubah apabila kita menyedarinya,” katanya.

Bagaimanapun, semua dakwaan itu dinafikan Johnson.

Gambar fail menunjukkan Boris Johnson (kiri) dan penasihat khasnya Dominic Cummings meninggalkan Downing Street di tengah London. Cummings telah menuduh Johnson berbohong mengenai strategi imuniti kelompok apabila pandemik pertama melanda negara. – AFP

Tambah Cummings, kerosakan besar berlaku apabila hala tuju strategi imuniti kelompok diketepikan dua minggu sebelum perintah berkurung pertama dilaksanakan pada Mac 2020.

“Jika kita membuat persiapan rapi, ditambah individu yang berwibawa, kita mungkin mampu mengelak pelaksanaan perintah berkurung kali pertama dan sudah tentu tidak memerlukan perintah berkurung kali kedua atau ketiga,” katanya.

Cummings dijangka mengemukakan bukti kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan kesihatan dan sains pada Rabu ini.

Beliau juga mendakwa memiliki dokumen penting yang bakal mendedahkan cara kerajaan menangani pandemik itu ketika mula melanda Britain pada awal tahun lalu.

Bekas penasihat itu dipecat pada hujung tahun lalu dan baru-baru ini terbabit dalam perang mulut dengan Downing Street selepas beliau dituduh membocorkan dokumen dan perbualan dalaman kepada media. – AP