Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas penempatan tahanan jadi tarikan pelancongan

    ISLA SAN LUCAS, COSTA RICA – Ketika dunia global masih di bawah ancaman COVID-19, beberapa buah negara masih mengekalkan langkah-langkah pencegahan penularan virus, di mana salah satu daripadanya melakukan penutupan setiap sempadan negara bagi mengelak penambahan kes yang diimport.

    Justeru, dengan penutupan sempadan ini perjalanan ke luar negara masih tidak dibenarkan. Sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan ekonomi negara dari segi sektor pelancongan, para pelancong tempatan didedahkan untuk mengenali tempat-tempat pe-lancongan dalam negara yang menarik.

    Di Costa Rica sendiri, meskipun negara itu terkurung, di pulau San Lucas, bekas penjara penjajahan yang memiliki sejarah gelap, baru saja ditukar menjadi tempat pelancongan baharu, walaupun dengan protokol yang ketat bagi mengawal pandemik.

    Dianggap sebagai Alcatraz versi Costa Rica, pulau ini pernah menjadi salah satu penjara terkenal dalam sejarah negara itu. Sejak dibuka semula pada bulan Ogos lalu, ia juga menjadi destinasi yang wajib untuk melakukan aktiviti hiking, mengunjungi pantai yang indah dan fauna yang berlimpah – penghargaan kepada beberapa agensi kerajaan yang membuka jalan pejalan kaki dan mengubahsuai infrastruktur bernilai AS$2.4 juta itu.

    Terletak di Teluk Nicoya di luar pantai Pasifik, San Lucas yang sebelumnya ditinggalkan berfungsi sebagai penjara antara tahun 1873 dan 1991, yang terkenal dengan penyeksaan.

    Dikatakan sebagai Alcatraz versi Costa Rica, pulau San Lucas ini pernah menjadi salah satu penjara terkenal dalam sejarah negara itu. – AFP
    Kelihatan sekumpulan pelancong menaiki perahu menuju ke pulau San Lucas, di Puntarenas, Costa Rica. – AFP
    Keadaan penjara yang dikatakan serupa dengan penjara terkenal Alcatraz. – AFP
    Kelihatan pulau San Lucas yang terletak di Teluk Nicoya di luar pantai Pasifik Costa Rica. – AFP

    Pada tahun 1995 pulau ini diisytiharkan sebagai kepentingan seni bina dan pada tahun 2001 dinamakan sebagai tempat perlindungan hidupan liar.

    “San Lucas merupakan destinasi yang menakjubkan. Ia mempunyai budaya, sejarah, seni bina, pantai, biodiversti,” kata Wanita Pertama, Claudia Dobles, yang berada di balik tabir projek itu, dalam sebuah video yang dikirimkan kepada media.

    “Ini harta karun terbaik di Pasifik.”

    Island of Lonely Men

    Pada permulaan sejarahnya sebagai penjara, San Lucas merupakan pusat tahanan bagi mereka yang dianggap “ahli politik yang tidak diingini” oleh pemimpin tentera kerajaan, Tomas Guardia.

    Kemudian ia menjadi penjara keselamatan maksimum bagi penjenayah Costa Rica yang paling ganas. Seorang bekas tahanan, novelis Jose Leon Sanchez, menghabiskan lebih dari satu dekad di San Lucas dan menceritakan pengalamannya dalam novel 1963, Island of Lonely Men.

    Novel ini, yang dijadikan filem Mexico pada tahun 1974, menceritakan kisah penganiayaan, kebuluran dan penderaan seksual dalam kalangan tahanan. Tujuh bekas sel tahanan keselamatan maksimum terbentang di halaman yang melingkar dengan lubang tertutup di tengah. Lubang itu adalah sel hukuman bagi tahanan yang cuba melarikan diri.

    Menurut Sanchez, tahanan lebih suka mati daripada menghabiskan tempoh sehari di sana. Sebahagian daripada sejarah penjara telah terukir di dinding selnya, di mana tahanan meninggalkan lukisan. Penjara San Lucas berkongsi lebih dari sekadar kemiripan dengan pulau Alcatraz, lokasi bekas penjara di Teluk San Francisco yang juga merupakan tarikan utama pelancongan.

    Kerajaan Costa Rica berhasrat menandatangani perjanjian “persaudaraan” antara kedua-duanya.

    Kepelbagaian kehijauan dan kekayaan biologi

    Pengunjung dapat melihat runtuhan bangunan terawal di pulau seluas 500 hektar ketika jeritan monyet bergema di hutannya.

    “Di sini ada biodiversiti yang sangat hijau dan kaya,” kata Giovany Mora, renjer taman dengan pengalaman 14 tahun di pulau itu, kepada media.

    “Anda melihat banyak rusa berekor putih, tupai, iguana, agoutis, tepezcuintles,” tambahnya, menyenaraikan sejumlah haiwan yang ada.

    Perahu ke pulau itu berlepas dari bandar pelabuhan Puntarenas tetapi sekatan koronavirus membatasi jumlah pelancong. Pengunjung hanya dibenarkan pada hujung minggu dalam tiga kumpulan yang boleh memuatkan maksimum 40 orang, bagaimanapun pantai-pantai adalah dilarangan untuk kunjungan.

    Walaupun begitu, pulau ini menerima 920 pengunjung, hampir secara eksklusif orang-orang Costa Rica pada bulan pertama, menurut pihak pelancongan Puntarenas. Pekerjaan sedang berjalan dengan rumah baru untuk renjer taman yang akan dibuka pada bulan Disember, sementara kerja pemulihan di pos komando lama telah dimulakan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda