Bekas peniaga kereta terpakai jadi tauke ikan

KUALA KRAI – Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu. Itulah ungkapan sesuai untuk digambarkan kepada nasib seorang bekas peniaga kereta terpakai yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kini bergelar tauke ikan sangkar.

Rohaimin Yusoff, 49, berkata pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara memberi mimpi buruk baginya hingga perniagaan kereta terpakai miliknya terpaksa gulung tikar sejak tahun lepas.

Enggan terus berpeluk tubuh mengenang nasib, Rohaimin bangkit mencari insiatif lain dengan melakukan percubaan menternak ikan sangkar di pinggir Sungai Kelantan di sini sejak awal tahun ini bagi meneruskan kehidupan.

“Sebelum ini saya mampu meraih pendapatan hingga lima angka sebagai peniaga kereta terpakai namun disebabkan pandemik ini ia seakan sekelip mata menyebabkan saya hilang punca pendapatan disebabkan menghadapi beberapa kekangan untuk meneruskan perniagaan termasuk memperoleh bekalan kereta.

“Bagi meneruskan kehidupan untuk menampung perbelanjaan keluarga saya mula mengambil inisiatif menternak ikan sangkar pelbagai jenis bermula Januari dengan menggunakan wang simpanan hampir RM10,000 untuk membina tujuh petak sangkar ikan sebagai permulaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sangkar ikan miliknya di Kampung Lada, di sini.

Bekas peniaga kereta terpakai Rohaimin Yusoff, (kiri) bersama pekerjanya Shukri Hassan menunjukkan ikan patin hasil ternakannya untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Kuala Krai. – Bernama
Rohaimin Yusoff menunjukkan ikan keli hasil ternakannya di sangkar ikan miliknya di persisiran Sungai Kelantan di Kampung Lada, di sini. – Bernama

Bercerita lanjut, bapa kepada 13 anak berusia lingkungan tiga bulan hingga 26 tahun itu berkata pada awalnya dia hanya memulakan ternakan ikan sangkar dengan 2,500 benih ikan patin yang diperoleh daripada Jabatan Perikanan Kuala Krai.

Bagaimanapun, percubaan pertama itu gagal hingga menyebabkan kesemua ikan berkenaan mati sebelum mencapai tempoh matang iaitu kebiasaannya sekitar lima hingga enam bulan bergantung kepada keadaan.

“Ternyata usaha pertama saya untuk berkecimpung dalam bidang ternakan ikan sangkar ini gagal memandangkan saya ‘terjun’ ke dalam bidang ini tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan sebelum saya bangkit melakukan percubaan semula pada Mac lepas.

“Berbekalkan ilmu diperoleh daripada Youtube dan rakan yang berpengalaman dalam bidang ini saya melakukan percubaan kedua dengan sebanyak 10,000 benih ikan keli bermodalkan RM900 dan syukurlah akhirnya usaha saya berhasil,” katanya.

Rohaimin berkata dia kini mampu menjual sekitar 50 kilogram (kg) ikan keli kepada peraih serta pemilik restoren di daerah ini yang dijual sekitar harga RM7 sekilogram hingga mampu meraih lebih RM10,000 sebulan.

Katanya, melihat kepada potensi ternakan ikan keli itu beliau mula mempelbagaikan ternakan ikan sangkar lain termasuk tilapia, baung, lampam dan juga patin.

“Alhamdulillah kini saya mempunyai lebih 100,000 ekor ikan yang ditempatkan di 35 sangkar ikan yang mana setiap sangkar dapat menempatkan 1,000 hingga 3,000 ekor ikan.

“Bagaimanapun, buat tempoh ini saya menfokuskan kepada jualan ikan keli terlebih dahulu kerana ia hanya mengambil masa tiga bulan untuk capai tempoh matang berbanding ikan jenis lain iaitu sekitar enam hingga tujuh bulan,” katanya yang kini dibantu oleh tiga pekerja.

Rohaimin berkata penternakan ikan sangkar mampu memberi pulangan lumayan selain tidak memakan masa lama untuk memberikan hasil terutamanya ikan keli. – Bernama