KOTA BHARU, 25 MEI – Kelantan United (KUFC) membawa masuk bekas penyerang skuad bawah 19 tahun Malaysia, Zafuan Azeman pada pintu perpindahan pemain bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.
Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd Anas Karimi Ahmad Thani berkata kehadiran pemain muda yang pernah beraksi bersama pasukan Angthong FC dalam Divisyen 3 Thailand pada musim 2020 itu, akan memperkuatkan jentera serangan KUFC yang kini dikendalikan ketua jurulatih Akira Higashiyama.
“Posisi penyerang amat diperlukan pasukan ketika ini berikutan kekurangan pemain selain hanya bergantung kepada seorang pemain import iaitu Gassama Alfussainey dan pemain tempatan Fakhrul Zaman.
“Kehadiran Zafuan akan menambah kekuatan pasukan dalam usaha mencapai sasaran untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain Angthong FC, Zafuan yang berusia 21 tahun itu juga pernah beraksi dalam saingan Liga Super bersama pasukan Penang FC dan Kedah. – Bernama