Bekas Perdana Menteri Mali ditahan atas tuduhan rasuah

KIGALI, 27 OGOS – Bekas Perdana Menteri Mali, Soumeylou Boubeye Maiga ditahan semalam atas tuduhan berkaitan penyelewengan pembelian pesawat Presiden Ibrahim Boubacar Keita, menurut Agensi Anadolu (AA) memetik media tempatan.

Beliau ditahan atas arahan Mahkamah Tinggi berhubung kes pembelian aset ketenteraan, menurut aBamako daily.

Pada Oktober 2014, Pejabat Ketua Audit Negara di Afrika Barat mendedahkan bahawa urus niaga tersebut melibatkan transaksi penggelapan wang bernilai 9.3 bilion CFA francs (AS$16.7 juta). Maiga, 67, pernah menyandang jawatan Menteri Pertahanan dan Hal Ehwal Veteran ketika itu.

Beliau turut didakwa atas beberapa pertuduhan lain antaranya pemalsuan, rasuah, dan pecah amanah. Ketua Audit Negara turut membongkar kes berkaitan tuntutan berlebihan dan beberapa kejanggalan yang berlaku ketika proses perolehan pesawat itu.  Kes ditutup pada 2018 tetapi dibuka semula tahun lepas. Maiga dipercayai antara sekutu rapat bekas Presiden Keita, yang digulingkan Kolonel Assimi Goita pada Ogos 2020. – Bernama