Bekas perisik Britain ditemui mati

ISTANBUL,12 NOV – Seorang bekas pegawai perisikan tentera Britain ditemui mati di sebatang jalan berhampiran pangsapurinya di Istanbul, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan polis semalam.

Mayat bekas pegawai MI6, James Gustaf Edward Le Mesurier, ditemui dalam daerah Beyoglu pada awal pagi oleh orang yang lalu di situ untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh. Polis dan paramedik tiba di lokasi kejadian sejurus selepas mereka menerima panggilan berkaitan insiden itu dan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada badan mangsa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Le Mesurier.

Meskipun polis mengesyaki punca kematian adalah akibat terjatuh dari tempat tinggi, siasatan sedang dijalankan.

Isteri Le Mesurier berkata mangsa baru-baru ini mula mengambil pil tidur dan ubat-ubatan psikiatrik akibat kecelaruan stres dan insiden berlaku pada awal pagi semasa dia sedang tidur.

Le Mesurier juga adalah pengasas sebuah agensi pertahanan awam Syria. – Bernama