Bekas permata padang pasir yang dilupakan

TICHITT, MAURITANIA – Beberapa abad lalu, Tichitt merupakan sebuah kubu kota perniagaan di mana saudagar Sahara yang membawa emas, garam dan kain akan singgah untuk memberikan air kepada unta dan tawar-menawar dengan saudagar lain.

Hari ini, papan tanda merah dan putih di bukit pasir menuding ke tempat di mana terletaknya pusat perdagangan dan kebudayaan Islam yang hebat ini.

Namun pelawat ke Tichitt, sebuah tapak warisan dunia UNESCO, tidak ramai sekarang, dan kota kara di kawasan gersang di selatan Mauritania telah pun dilupakan.

“Kadangkala satu bulan akan berlalu tanpa sebuah kereta yang datang,” kata Cherif Mokhtar Mbaka, seorang guru bahasa Inggeris di bandar itu, dengan nada sayu.

Bangunan batu kelabu yang wujud sejak zaman keemasan telah bertahan di bandar yang mempunyai 2,470 penduduk, menurut satu bancian pada 2016, menandakan warisannya yang kaya.

Seorang lelaki kelihatan berhampiran batu lama Makhrouga yang terbentuk di antara Tichitt dan Aratane di Mauritania. – AFP

Thierry Tillet (kanan), seorang arkeologi dan penjelajah Sahara, dilihat bersama karavan unta di padang pasir antara Tichitt dan Aratane di tenggara Mauritania. – AFP

Jalan karavan rentas Sahara yang berkembang di antara abad ke-11 dan 19 membawa aliran peniaga yang ramai ke Tichitt, dalam perjalanan ke Timbuktu dan petempatan di lembangan sungai Niger.

“Kemerosotan berlaku apabila perniagaan mula memilih jalan laut dan bukannya jalan darat,” kata Mbaka.

“Sekarang ia sudah berakhir, dan penduduk menghadapi banyak masalah.”

Hari ini, peniaga yang datang tiba dengan trak bekalan bulanan, membawa beras dan pasta ke kedai tempatan, dan tinggal sekali lagi, dengan garam yang dilombong dari dataran bergaram berhampiran, atau dikenali sebagai sebkha. Tichitt telah kehilangan satu lagi sumber ekonomi, terbaharu ini.

Rali Paris-Dakar yang terkenal lazimnya melalui kawasan ini, membawa karavan pemandu kereta perlumbaan, wartawan dan pelancong.

“Lapangan terbang kecil yang dibina oleh Perancis dalam era jajahan dibangunkan semula untuk rali itu,” kata orang kenamaan tempatan Mohamed Teya, terkenangkan bagaimana puluhan kapal terbang mendarat semasa acara berlangsung.

Namun, pada tahun 2009, penganjur memindah perlumbaan padang pasir ke Amerika Selatan disebabkan ancaman keselamatan di Sahara dan landasan kapal terbang yang telah hilang sejak itu.

Begitu juga, reputasi Tichitt sebagai permata budaya Islam telah lenyap.

Selain seni bina yang unik semasa zaman kegemilangannya, diselenggara dengan baik oleh UNESCO dan kerajaan Mauritania yang menetapkan bangunan baharu mengekalkan gaya lama, dan banyak manuskrip bersejarah berjaya diselamatkan.

Dokumen berkenaan disimpan secara sembarangan dalam rumah penduduk.

Pengetua sekolah tinggi Mouhamedou Ahmadou menubuhkan satu kumpulan untuk memelihara manuskrip tersebut kira-kira 20 tahun lalu dan memperuntukkan sebuah rumah untuk tujuan tersebut.

Namun beliau tidak mempunyai sumber yang banyak untuk tugas itu dan masa depan mereka nampak suram.

“Manuskrip berkenaan ibarat orang tua dan kanak-kanak: mereka mudah terjejas dan perlu dijaga dengan baik,” kata Ahmadou.

Bandar seperti Timbuktu di Mali – terkenal di seluruh dunia dengan manuskrip penting dari segi sejarah – menerima faedah daripada pembiayaan asing, malah bilik kawalan suhu, menurut beliau.

“Lihat sini! Kami berada di tengah padang pasir dan cuaca adalah panas,” teriak Ahmadou.

Tatkala beliau mengeluarkan kerja-kerja dari rak yang ditulis kebanyakannya semasa penaklukan Arab pada abad ke-7 dan ke-8, kepulan habuk yang berterbangan membuat semua orang dalam bilik batuk.

“Tichitt sudah dilupakan,” kata datuk bandar Hamadou Lah Medou, 38 tahun.

Walaupun dalam negara yang kurang padat penduduk yang terdiri daripada kira-kira empat juta orang, keterasingannya menjadikan kehidupan sukar dan mahal.

Terdapat sebuah klinik kecil yang menawarkan pertolongan cemas, dan sebuah ambulans, salah sebuah daripada enam kereta di bandar, seloroh pegawai tempatan Mohamed Teya.

Untuk rawatan yang lebih serius, penduduk mesti pergi ke hospital di Tidjikja, ibu negeri serantau yang terletak kira-kira 230 kilometer dari kawasan itu.

“Kami memerlukan jalan raya,” keluh datuk bandar. Namun stesen minyak, dua pam dan satu papan tanda di pasir, selalunya lengang.

Ramai penduduk cuba mencari rezeki di tempat lain.

“Tidak ada apa-apa yang dilakukan di sini, tidak ada pekerjaan, tidak ada peluang,” kata Gildou Muhamedou Babui, 34, berpakaian dalam boubou warna biru langit.

Sesetengah penduduk mencari pekerjaan di dusun pokok palma, katanya. Yang lainnya bekerja di ladang garam, dibayar beberapa ouguiyas untuk kerja berat mereka, memotong garam dan memunggahnya di belakang unda peniaga yang melalui kawasan itu.

Babui sendiri cuba mencari kerja di ibu negara Nouakchott dan di barat laut bandar Atar tetapi gagal.

Beliau kini menyimpan buku kira-kira di dewan perbandaran.

“Sekurang-kurangnya ia adalah kerja yang stabil,” katanya, merujuk kepada pekerjaan yang memberinya gaji 3,900 ouguiyas sebulan. “Apakah yang dapat kami lakukan?” – AFP