Bekas perunding Brexit EU sertai pilihan raya presiden Perancis

MOSCOW, 27 OGOS – Bekas Ketua Perunding Kesatuan Eropah (EU) mengenai Brexit, Michel Barnier kelmarin mengumumkan akan menjadi calon untuk bertanding dalam persaingan merebut jawatan presiden di Perancis, yang dijadualkan tahun depan.

“Saya memutuskan untuk menjadi salah seorang calon dalam pilihan raya presiden April depan,” kata Barnier lapor Sputnik.

Beliau akan bertanding atas tiket parti konservatif, Les Républicains. Empat lagi calon dari parti yang sama termasuk Ahli Parlime Eric Ciotti; ketua wilayah Ile-de-France Valerie Pecresse; doktor dan bekas Ahli Parlimen Eropah Philippe Juvin; dan ketua majlis wilayah Hauts-de-France Xavier Bertrand.

Keputusan mengenai siapa yang akan terpilih mewakili parti itu dijangka dibuat pada 25 September.

Pemilihan, yang dijadualkan pada April 2022, dijangka bakal menyaksikan persaingan sengit antara pemimpin parti sayap kanan, National Rally, Marine Le Pen, dan Presiden Emmanuel Macron. – Bernama