Bekas pesakit COVID-19 dijangkiti semula

TOKYO, 27 FEB – Seorang wanita di Jepun yang sebelum ini sembuh selepas dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19), sekali lagi disahkan positif wabak itu, kata pegawai hari ini.

Kes tersebut adalah kali pertama seorang pesakit yang telah dibebaskan daripada penyakit dan seterusnya diuji positif, kata pegawai tempatan di Osaka.

Wanita berusia 40 tahun itu kali pertama disahkan positif Covid-19, pada 29 Januari.

Ketika kejadian, dia bekerja sebagai pemandu pelancong untuk kumpulan pelancong dari Wuhan yang menjadi lokasi tercetusnya wabak itu.

Pemandu bas berkenaan turut disahkan positif Covid-19.

Selepas menerima rawatan di hospital, wanita terbabit disahkan negatif wabak itu pada 6 Februari. Bagaimanapun, dia berjumpa doktor semula pada 21 Februari selepas mengalami sakit tekak dan sakit dada.

Semalam, dia disahkan positif wabak berkenaan untuk kali kedua.Setakat semalam, Jepun merekodkan sekurang-kurangnya 186 kes dengan tiga kematian akibat Covid-19. – AFP