WHO: Bekas pesakit tak ‘kebal’ jangkitan kedua koronavirus

GENEVA, 26 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tiada bukti mereka yang pernah mendapat jangkitan COVID-19 tidak akan terkena jangkitan kali kedua.

Amaran berkenaan berkait dengan pengeluaran ‘pasport imuniti’ yang hanya menyebabkan pandemik berkenaan terus merebak. WHO dalam satu kenyataan menjelaskan, setakat ini tiada bukti kukuh bahawa mereka yang sembuh COVID-19 dilindungi daripada jangkitan kedua.

“Sehingga 24 April 2020, tiada kajian dilakukan untuk membuktikan kehadiran antibodi terhadap SARS-CoV-2 memberikan ‘perlindungan’ daripada jangkitan virus sama,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas terdapat beberapa kerajaan yang mahu membuka semula aktiviti ekonomi, memberi idea untuk mengeluarkan dokumen bagi mereka yang pernah mendapat jangkitan. – AFP