NEW YORK, 3 OKT – Seorang bekas pegawai polis dari Texas, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun semalam selepas didapati bersalah menembak jirannya seorang kulit hitam, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Amber Guyger, 31, ketika kejadian merupakan anggota polis di Dallas, disabitkan bersalah kerana membunuh Botham Jean, 26, akauntan dari St Lucia pada September 2017.
Keputusan tersebut dianggap kemenangan bagi kumpulan hak asasi manusia di AS, yang mengatakan penduduk kulit hitam sering kali menjadi mangsa pegawai polis kulit putih dan mereka jarang didakwa kerana melakukan kesalahan itu.
Mengaku tidak bersalah semasa perbicaraannya, tertuduh memberitahu juri beliau ingat telah memasuki pangsapurinya dan menyangka Jean seorang pencuri lalu menembak mangsa. – Bernama


































