Bekas presiden dipenjara 10 tahun

SAN SALVADOR, 13 Sept – Mahkamah di El Salvador semalam telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Presiden Elias Antonio Saca kerana memindahkan AS$301 juta daripada dana awam secara haram ketika mentadbir negara itu.

“Bekas Presiden Elias Antonio Saca (2004-2009) telah dikenakan hukuman penjara 10 tahun kerana melakukan jenayah menggelapkan wang selain menggubah aset dan wang,” kata pejabat Peguam Negara di Twitter.

Ia juga menyatakan bahawa Saca menjadi Presiden pertama El Salvador untuk dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah.

Kenyataan itu juga memberitahu, sebuah mahkamah di ibu negara turut mengenakan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Setiausaha Sulit, Elmer Charlaix, atas dakwaan yang sama seperti ke atas Saca.

Bekas Presiden El Salvador, Tony Saca (tengah) ketika berbincang dengan peguamnya semasa di Kompleks Kehakiman Isidro Menendez di San Salvador pada 12 September 2018. – AFP

Setiausaha Komunikasi, Julio Rank, dan Presiden syarikat air negara, Cesar Funes, pula dikenakan hukuman penjara lima tahun.

Saca perlu meneruskan hukuman selama lapan tahun lagi kerana sudah ditahan hampir dua tahun. Beliau dibicarakan bersama enam orang lain yang dituduh bersubahat untuk mencuri dana awam.

Dalam perjanjian yang dicapai selepas berunding mendapatkan hukuman lebih ringan, bekas Presiden itu bersetuju membuat pengakuan atas tuduhan menggelapkan wang selain menggubah aset dan wang.

Tanpa persetujuan itu, Saca boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 25 tahun. Saca juga diarah memulangkan wang bahagiannya kepada negara iaitu AS$260.7 juta. – AFP