Bekas Presiden Ecuador dihukum penjara 8 tahun

QUITO, 8 APRIL – Bekas Presiden Ecuador, Rafael Correa dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun tanpa hadir di penjara kerana rasuah sepanjang tempoh 10 tahun beliau memegang jawatan itu, menurut Pejabat Peguam Negara, semalam.

Correa menjadi presiden pada tahun 2007 hingga 2017 kini hidup dalam buangan di Belgium, tempat kelahiran isterinya, adalah antara 18 orang yang disabitkan dengan rasuah.

Beliau antara individu paling berpengaruh dalam politik Amerika Latin, sering mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik, menuduh peguam negara terbabit.

Correa juga meminta supaya dibebaskan daripada hukumannya berikutan didapati bersalah menerima dana daripada syarikat persendirian untuk kempen pilihan raya 2013 dan sebagai balasan mendapat kontrak negeri.

“Saya tahu proses itu dan apa yang dikatakan hakim adalah palsu, mereka tidak membuktikan apa-apa dan semuanya tiada bukti,” katanya di Twitter.

Gambar fail bertarikh 9 Oktober 2019 menunjukkan bekas presiden Ecuador Rafael Correa mengadakan sidang media di Parlimen Eropah di Brussels. – AFP

Peguam Negara, Diana Salazar, berkata pelbagai jenis perniagaan membayar wang berjumlah AS$7 juta sebagai rasuah untuk mendapatkan kontrak dan Correa sendiri didapati terbabit dengan sejumlah AS$6,000 dimasukkan ke akaunnya dengan mendakwa ia adalah pinjaman.

Bekas setiausaha undang-undang Correa, Alexis Mera, berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap sabitannya kerana ia adalah palsu semata-mata kerana hanya bersandarkan resit AS$80,000 untuk perkhidmatan guaman diberikan tanpa sebarang tandatangannya.

Dalam pada itu, Correa juga kini menjadi buruan mahkamah Ecuador kerana dakwaan menculik seorang ahli Parlimen pembangkang tetapi tidak boleh dibicarakan tanpa hadir atas tuduhan itu. – AFP