Bekas presiden FIFA dibicarakan di Zurich

ZURICH, 9 OGOS – Bekas Presiden bola sepak dunia, Sepp Blatter (gambar) tiba hari ini untuk perbicaraan terakhir di hadapan pendakwa raya Switzerland dalam siasatan penipuan pembayaran FIFA 2011 kepada Michel Platini.

Bekas presiden FIFA, Blatter, 85, sedang disiasat atas pembayaran dua juta franc Swiss (AS$2.2 juta) kepada Platini, yang ketika itu bertugas di badan pemerintah bola sepak Eropah, UEFA.

“Pagi ini, Blatter menjalani perbicaraan di pejabat pendakwa persekutuan di Zurich,” kata jurucakap Blatter, Thomas Renggli kepada AFP.

Perbicaraan terakhir dalam siasatan ditangguhkan ke bulan Ogos kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan pentadbir bola sepak Switzerland yang telah bersara itu.

Pada bulan Mac, dia beransur pulih di klinik setelah dirawat selama dua bulan di hospital pada bulan Disember dan Januari.

Kerana keadaan Blatter, perbicaraan dengan pendakwa persekutuan dari Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland hanya dapat berlangsung selama sekitar 90 minit.

Oleh itu, perbicaraan akan diteruskan pada hari-hari berikutnya minggu ini, jika diperlukan.

Joseph Sepp Blatter menjadi setiausaha agung FIFA pada 1981 dan presiden badan pentadbir bola sepak dunia pada 1998.

Dia dipaksa meletak jawatan pada tahun 2015 dan awalnya dilarang oleh FIFA selama lapan tahun, kemudian dikurangkan menjadi enam, kerana pelanggaran etika ketika dia membenarkan apa yang disebut oleh pendakwa sebagai ‘pembayaran tidak setia’ kepada Platini dengan kata lain, yang dibuat demi kepentingannya bukannya FIFA. – AFP