Bekas presiden Korea bebas dengan ikat jamin

SEOUL, 6 Mac – Bekas presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dibenarkan diikat jamin hari ini, setelah hampir setahun meringkuk dalam penjara atas pertuduhan rasuah.

Lee, yang pernah berkhidmat sebagai presiden bermula 2008 hingga 2013, didapati bersalah melakukan kesalahan rasuah, penyelewengan wang dan dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun pada Oktober lalu.

Namun begitu, Mahkamah Tinggi Seoul telah meluluskan permohonan ikat jamin itu yang dibuat oleh Lee, 77 tahun atas alasan masalah kesihatan, lapor agensi berita Yonhap.

Bekas presiden itu membuat permohonan tersebut pada Januari dengan memetik alasan usia lanjut dan komplikasi kesihatan akibat diabetes dan masalah gangguan tidur yang serius.

Lee didapati bersalah mewujudkan dana berpuluh-puluh juta dolar atas tujuan salah dan menerima rasuah daripada Samsung Electronics sebagai balasan kepada pengampunan presiden terhadap pengerusi syarikat itu, Lee Kun-hee yang dipenjarakan kerana mengelak cukai.

Ahli politik konservatif itu menolak dakwaan salah laku itu dan melabelnya sebagai ‘dendam politik’.

Presiden Korea Selatan cenderung berakhir meringkuk di penjara setelah tempoh berkuasa mereka berakhir, sering kali berlaku sebaik saja pesaing politiknya berpindah masuk ke Rumah Biru presiden.

Kesemua keempat-empat presiden Korea Selatan yang masih hidup telah disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Pengganti Lee, Park Geun-hye dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun dan didenda berjuta-juta dolar kerana menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa. – AFP/Bernama