SEOUL, 24 DIS – Bekas presiden Korea Selatan, Park Guen-hye telah diberikan pengampunan hari ini, memendekkan tempoh hukuman penjara lebih 20 tahun kerana rasuah dengan penggantinya berkata dia diberikan pengampunan bagi kepentingan perpaduan negara.
Park menjadi presiden wanita pertama Korea Selatan pada 2013, namun kurang daripada empat tahun kemudian dia didakwa dan disingkirkan selepas kontroversi yang mencetuskan bantahan besar-besaran.
Wanita berusia 69 tahun itu dihukum penjara selama 20 tahun atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, dengan tambahan hukuman selama dua tahun atas kesalahan undang-undang pilihan raya.
“Kami mesti mengatasi keperitan masa lalu dan bergerak ke hadapan memasuki era baharu,” kata Presiden Moon Jae-in, yang dilantik berkuasa pada 2017 berikutan tentangan awam terhadap Park dan parti konservatifnya.
“Memandangkan banyak cabaran yang kami tempuhi, perpaduan negara dan keterangkuman adalah lebih diutamakan berbanding yang lain.”
Moon berkata keadaan kesihatan Park yang semakin merosot selepas menjalani hukuman selama lima tahun di penjara juga adalah faktor keputusan tersebut dibuat.
Park telah dimasukkan ke hospital beberapa kali pada tahun ini. Dia ketika ini menerima rawatan di kemudahan kesihatan di Seoul.
Pengampunan akan berkuat kuasa pada 31 Disember, menurut kementerian keadilan.
“Saya melahirkan rasa berterima kasih kepada Presiden Moon Jae-in dan pihak kerajaan yang memutuskan untuk memberikan pengampunan meskipun dengan banyak halangan,” kata Park, menurut agensi berita Yonhap.
Kontroversi rasuahnya mendedahkan hubungan samar antara ahli peniagaan besar dan ahli politik di Korea Selatan, dengan Park dan rakan rapatnya, Choi Soon-sil dituduh disogok syarikat perniagaan, termasuk Samsung Electronics, sebagai ganti kepada layanan istimewa. – AFP
