Bekas presiden Korea S dipenjara 17 tahun

SEOUL, 29 OKT – Bekas presiden Korea Selatan Lee Myung-bak diarahkan supaya kembali dipenjarakan hari ini apabila Mahkamah Agung mengesahkan hukuman penjara 17 tahun atas dakwaan kesalahan rasuah dan penyelewengan.

Lee, yang menyandang jawatan presiden dari 2008 hingga 2013, dibenarkan bebas dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan dan tidak hadir di mahkamah untuk keputusan itu, namun polis kelihatan di kediamannya di Seoul untuk membawanya ke penjara, menurut laporan.

Keputusan itu tidak tertakluk kepada rayuan lanjut dan pada usia 78 tahun, ia bermakna Lee mungkin menghabiskan usianya dalam penjara melainkan beliau menerima pengampunan dari presiden.

Keempat-empat bekas presiden Korea Selatan sama ada sedang menjalani hukuman penjara atau telah habis menjalani hukuman penjara, sering kali hasil siasatan dilancarkan di bawah pengganti yang juga pencabar politik.

Lee pertama disabit menggubah wang dan menerima rasuah pada akhir 2018 dan dipenjarakan.

Mahkamah rayuan kemudian menambah hukumannya kepada 17 tahun tetapi membenarkannya diikat jamin sementara menunggu rayuan seterusnya dari mahkamah tertinggi negara.

Mahkamah Agung hari ini menyokong sabitannya kerana menggelapkan 25.2 bilion won dan menerima rasuah berjumlah 9.4 bilion won, serta hukuman penjara 17 tahun. – AFP

Gambar fail menunjukkan bekas presiden Korea Selatan Lee Myung-bak menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Daerah Seoul di Seoul. – AFP