Bekas presiden Mali dibebaskan

BAMAKO, 27 OGOS – Pemerintah tentera baharu Mali hari ini berkata bahawa bekas presiden Ibrahim Boubacar Keita (IBK), yang ditahan semasa rampasan kuasa negara pada 18 Ogos, telah dibebaskan.

Junta, atau dikenali sebagai Jawatankuasa Nasional untuk Keselamatan Rakyat (CNSP), mengatakan dalam catatan Facebook, yang pihaknya ‘memberitahu masyarakat dan antarabangsa bahawa bekas presiden Ibrahim Boubacar Keita telah dibebaskan dan kini berada di kediamannya’.

Pembebasan Keita telah menjadi permintaan utama jiran-jiran Mali dan organisasi antarabangsa, termasuk Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

“Presiden IBK telah dibebaskan, beliau ada di rumahnya,” kata seorang jurucakap junta, Djibrila Maiga, kepada AFP, merujuk kepada Keita dengan panggilan awalnya.

Seorang ahli keluarga Keita, yang tidak mahu disebutkan namanya, mengatakan bahawa bekas pemimpin berusia 75 tahun itu telah pulang semalam ke rumahnya di daerah Sebenikoro di ibu kota Bamako.

Keita, perdana menteri Boubou Cisse dan pegawai kanan lain ditangkap oleh pasukan pemberontak yang diketuai oleh para pegawai muda yang melakukan pemberontakan di sebuah pangkalan dekat Bamako.

Pada awal pagi 19 Ogos, Keita muncul dalam siaran televisyen nasional untuk mengumumkan peletakan jawatannya, dengan mengatakan beliau tidak punya pilihan lain, dan ingin mengelak daripada berlakunya ‘pertumpahan darah’. – AFP